
KUCHING: Setiap dasar kerajaan perlu disampaikan dengan jelas dan efektif kepada masyarakat bagi memastikan tiada kumpulan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, usaha merapatkan jurang maklumat merupakan langkah penting dalam menjamin kemajuan yang inklusif dan menyeluruh.
“Jika maklumat tidak sampai kepada rakyat, walau sebaik mana pun dasar kerajaan, ia tidak akan memberikan kesan yang diharapkan.
“Justeru, peranan seperti yang dimainkan oleh AZAM Sarawak harus diperkukuh dan diperluaskan,” katanya ketika berucap pada majlis AZAM Sarawak Ramah Tamah Aidilfitri: Raya Kali Tok yang diadakan di Imperial Hotel Kuching, malam tadi.
Tambah beliau, AZAM Sarawak memiliki potensi besar untuk menjadi contoh kepada organisasi lain dalam bidang komunikasi pembangunan.
Potensi tersebut didorong oleh jaringan yang kukuh serta rekod pencapaian yang memberangsangkan, bukan sahaja di peringkat negeri, malah hingga ke rantau ASEAN.
“Bidang tumpuan seperti penglibatan belia, media komuniti, pendidikan digital serta inovasi sosial merupakan elemen penting yang mampu memacu perubahan dan mengetengahkan suara akar umbi,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan pelancaran laman sesawang rasmi baharu AZAM Sarawak, yang bakal menjadi saluran komunikasi utama organisasi tersebut dengan agensi kerajaan, komuniti setempat, institusi pendidikan, serta rakan kerjasama dari sektor swasta dan antarabangsa.
Oleh Amanda L.