GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang semalam mengumumkan pemerbadanan syarikat tujuan khas (SPV) baharu, Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd, bagi menerajui pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Penang Infrastructure Corporation diperbadankan pada 9 Julai lepas yang bertujuan untuk melaksanakan projek infrastruktur mega di bawah PTMP merangkumi komponen LRT Bayan Lepas, lebuh raya, terowong dasar laut dan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).
Menurutnya, syarikat tersebut bakal terlibat merancang dan membangunkan kawasan PSR termasuk ‘topside development’ selain bekerjasama dengan rakan pelaksana projek (PDP) bagi meneliti kerangka kewangan untuk pembiayaan komponen utama PTMP dengan segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
Chow berkata, ahli Lembaga Pengarah Penang Infrastructure Corporation dianggotai oleh beliau sendiri, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Razak Jaafar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari.
“Penambahan ahli-ahli Lembaga Pengarah akan dibuat dari masa ke semasa dengan pelantikan pakar-pakar dari bidang tertentu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung bayaran kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut, Chow berkata, bayaran masih belum dibuat berikutan kajian tersebut belum siap.
“Bayaran masih belum dilakukan sama ada melalui wang tunai atau pemindahan hak milik tanah. Tidak perlu membuat apa-apa bayaran kerana kajian kebolehlaksanaan belum lagi siap. Ikut perjanjian kita ia dibayar apabila ianya sudah siap…jika tidak siap, bagaimana hendak bayar? Kalau sudah siap boleh bayar melalui tunai atau tanah,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini hanya bayaran dalam bentuk pemindahan tanah kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dibuat bagi projek tiga lebuh raya.
Katanya, tanah seluas 0.71 hektar di Tanjong Pinang, dekat sini dipindah milik kepada pemaju sebagai bayaran untuk kajian kebolehlaksanaan projek tiga lebuh raya itu.
Bagi projek terowong dasar laut, Chow berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan berhubung pembinaannya berdasarkan kajian kebolehlaksanaan yang akan dibentangkan nanti. Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer itu dianggar bernilai RM6.3 bilion dan bakal menghubungkan Persiaran Gurney, di sini ke Bagan Ajam di daerah Seberang Perai Utara dengan pembinaannya dijangka bermula pada 2023.- Bernama