JASIN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mencadangkan pengusaha pokok karas di negara ini menggunakan kaedah inokulasi sistem paku buluh (bamboo stick) dan titisan bagi penghasilan gaharu yang lebih optimum, kos efektif dan berkualiti terbaik.
Menteri berkenaan Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kajian bagi kaedah itu dijalankan ke atas 100 pokok karas oleh dua penyelidik dengan peruntukan berjumlah RM100,000 di Ladang Karas, Empangan Jus, Jasin pada November 2017.
Beliau berkata, kajian tersebut dilakukan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka untuk mendapatkan hasil yang komprehensif bagi menghasilkan gaharu dan pati minyak gaharu (PMG).
“Menerusi kaedah inokulasi sistem paku buluh dan titisan, penghasilan gaharu teras secara purata adalah lima kilogram bagi setiap pokok dengan nilai jualan pasaran RM800 sekilogram. Kita harap sistem ini dapat dimanfaatkan usahawan gaharu di negara ini.
“Ini kerana kajian yang dilakukan menunjukkan ia adalah kaedah inokulasi terbaik berbanding kaedah lain seperti alat dorongan langsung menggunakan ‘chemjet’, sistem beg titisan dan botol dorongan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ladang Karas di sini, semalam.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata hasil kajian itu akan menjadi penanda aras dan rujukan kepada MTIB dan KPPK untuk memohon peruntukan Projek Bantuan Inokulasi menerusi Rancangan Malaysia ke-12 pada Januari tahun depan.
Katanya, setakat ini belum ada bantuan khas inokulasi yang diperuntukkan kerajaan bagi membantu pengusaha gaharu memajukan industri eksport gaharu secara lebih meluas.
Mohd Khairuddin berkata, kursus dan bimbingan bagi memperkenal serta memberi pendedahan berkaitan kaedah inokulasi sistem paku buluh dan titisan kepada pengusaha pokok karas akan dilakukan dalam masa terdekat.
Beliau berkata setakat ini, jumlah pengeksport dan pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah 13 syarikat, 22 syarikat atau individu direkodkan sebagai pengeluar PMG, manakala lebih 50 syarikat dikenal pasti sebagai pengusaha produk gaharu.
Katanya, hanya 2.3 juta pokok karas yang berdaftar di bawah MTIB dan secara keseluruhan, terdapat 10 juta pokok karas ditanam di seluruh negara.
“Pengusaha yang telah menanam pokok karas diharap segera mendaftarkan pokok tersebut dengan MTIB kerana tanpa pendaftaran, pokok berkenaan tidak ada surat beranak kerana ia penting untuk tujuan pemotongan dan mengambil hasilnya,” katanya.- Bernama