
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa arahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Rafiq Hakim Razali ‘clearkan’ wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Armada adalah tindakan tidak jujur.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata menerusi perbualan telefon, Syed Saddiq meminta Rafiq Hakim, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13 (SP13), untuk ‘clearkan’ wang itu kerana khuatir ia akan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Semasa disoal balas oleh peguam, SP13 bersetuju bahawa beliau menerima arahan tersebut daripada Syed Saddiq dan ketika ditanya peguam apa maksud ‘clearkan’, SP13 menjawab jangan simpan duit itu di dalam rumah saya, dan ditanya adakah ‘clear’ maksudnya ‘dispose’ (lupus), SP13 menjawab Ya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hari ketiga pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar itu terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan berkaitan dana Armada di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Wan Shaharuddin berkata Syed Saddiq dalam pembelaannya mendakwa beliau tidak pernah mengeluarkan arahan itu namun hujahan peguamnya menyatakan arahan untuk ‘clear’ adalah simpan dengan selamat.
“Sekiranya wang tersebut bukan suatu kesalahan, kenapa tertuduh minta SP13 ‘clearkan’ wang itu. Ini bermakna tertuduh ada niat jahat,” katanya sambil menambah Menteri Belia dan Sukan itu telah melakukan kesalahan bersubahat dengan cara mengarahkan Rafiq Hakim untuk melakukan jenayah berkenaan.
Wan Shaharuddin berhujah terdapat keterangan yang menunjukkan Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim mengeluarkan wang RM1 juta itu pada 6 Mac 2020.
Beliau berkata justeru itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi mensabitkan dan menjatuhi hukuman ke atas Syed Saddiq berlandaskan undang-undang serta keterangan adalah tepat.
“Tiada kekhilafan di pihak hakim bicara sehingga membawa kepada salah laku keadilan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
“Justeru itu, kami mohon agar sabitan terhadap pertuduhan subahat pecah amanah ini tidak diganggu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan pula berhujah tiada pengeluaran wang sumbangan yang dikumpulkan oleh Armada menerusi dua program pada April 2018 untuk digunakan bagi kempen Syed Saddiq dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Sebaliknya, Syed Saddiq mengubah niat dengan memindahkan wang sebanyak RM100,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya selepas PRU14,” katanya.
Beliau berkata Syed Saddiq mengeluarkan resit perbelanjaan yang digunakan bagi PRU14 tetapi itu tidak bermakna wang tersebut berpunca daripada dananya sendiri.
“Tiada bukti yang menunjukkan sumber wang yang digunakan dalam kempen itu sememangnya berasal daripada dana peribadi dan perlu dibayar balik,” katanya.
Selain itu, Farah Ezlin berkata keterangan Syed Saddiq berhubung pembayaran balik perbelanjaan bagi kempen PRU14 adalah perkara yang difikirkan kemudian kerana beliau tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang berkenaan adalah reimbursement.
Hakim Ahmad Zaidi kemudian menetapkan 24 April ini sebagai pengurusan kes untuk menentukan tarikh keputusan kes itu.
Pada 9 November 2023, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.
Bekas Ketua Armada itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Bernama