
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM54 juta untuk 2024 dan RM113 juta dalam keuntungan operasi.
Kumpulan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata ia mencapai pendapatan yang kukuh sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM788 juta walaupun berhadapan dengan cabaran operasi termasuk pengurangan rangkaian pada suku keempat 2024, yang menurunkan kapasitinya sebanyak 18 peratus.
Keuntungan bersih kumpulan itu disokong oleh pembalikan rosot nilai hak dalam penggunaan aset, pesawat, hartanah, kilang serta peralatan selain aset tidak ketara yang berjumlah RM426 juta.
“Rosot nilai ini awalnya, diiktiraf semasa pandemik COVID-19 pada 2020, telah berjaya dipulihkan selepas adanya peningkatan kapasiti, pendapatan, faktor tempat duduk dan hasil dari tahun kewangan 2023 dan 2024,” katanya.
Pengurangan kapasiti ini didorong oleh gangguan dalam rantaian bekalan, masa penyelenggaraan yang lebih lama termasuk kelewatan dalam penghantaran pesawat baharu. Semua ini telah dijalankan pada suku tradisional yang mantap.
Ia memberi kesan kepada pendapatan tahun penuh MAG sebanyak RM13.68 bilion, penyusutan marginal 1.0 peratus dari tahun ke tahun di belakang kenaikan 6.0 peratus dalam tempat duduk tersedia bagi setiap (ASK).
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata kumpulan itu mengekalkan keuntungan dan memastikan ia berada di kedudukan yang strategik walaupun terdapat cabaran operasi.
“Ketika kami berusaha ke arah wawasan Destinasi 2030 kami iaitu masa depan kestabilan serta pertumbuhan, kami tetap fokus terhadap dua prinsip panduan: kemampanan komersial dan pembangunan negara.
“Unsur utama strategi ini adalah pelaburan berterusan kami dalam memodenkan dan memperluaskan armada kumpulan,” katanya.
Izham berkata MAG berhasrat untuk mengendalikan armada badan tirus generasi baharu sebanyak 55 pesawat yang merangkumi Boeing 737-8 serta 737-10 menjelang 2030 untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Pada masa yang sama, ia secara progresif sedang mengintegrasikan pesawat A330NEO ke dalam rangkaian jarak jauhnya.
Dua pesawat telah digunakan di laluan Melbourne, Bali dan Auckland, dengan lapan lagi dijangka tahun ini, katanya.
Trafik penumpang MAG pada 2024 kekal teguh dalam segmen premium dengan faktor beban yang lebih baik bagi segmen penumpang dan kargo iaitu 80 peratus berbanding 77 peratus pada 2023.
Sementara itu, Malaysia Airlines Bhd (MAB) mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM139 juta menjelang 2024, penurunan 87 peratus daripada RM1.09 bilion pada 2023 disebabkan oleh hasil yang lebih rendah dan kesan pengurangan kapasiti semasa suku keempat tahun kewangan 2024.
Kapasiti tahunan menokok 7.0 peratus, dengan kenaikan 17.0 peratus penumpang yang dibawa serta faktor beban sebanyak 81 peratus berbanding 77 peratus pada 2023. Kekangan pesawat menghalang prestasi tepat pada masanya dengan hanya 1.0 peratus peningkatan dari tahun ke tahun.
Ia turut memperkenalkan tiga destinasi baharu iaitu Male di Maldives, Da Nang di Vietnam dan Chiang Mai, Thailand selain memulakan kembali penerbangan ke Kolkata, India.
Manakala kerugian Firefly dari tahun ke tahun melebar disebabkan operasi jet di Lapangan Terbang Subang dengan kenaikan 10 peratus dalam faktor beban dari tahun ke tahun.
Hasil merosot 19 peratus disebabkan oleh operasi jet dari Lapangan Terbang Subang, manakala Amal oleh Malaysia Airlines mencatatkan peningkatan 36 peratus dalam prestasi kewangannya.
Izham menjelaskan dengan tempahan ke hadapan melonjak 9.0 peratus dari tahun ke tahun, kehadiran utama MAG akan terus berkembang di pasaran utama termasuk ASEAN, Australia, New Zealand dan Asia Selatan.
“Pertumbuhan strategik ini terus dimantapkan selepas kami memulakan kembali penerbangan ke Paris pada 22 Mac 2025, destinasi Eropah kedua kami,” tambahnya.
Bagi segmen bukan penerbangan MAG, bahagian kargo MAG iaitu MAB Kargo mencatatkan kenaikan keuntungan operasi, disokong oleh kapasiti tambahan dan faktor beban yang lebih baik. Beban untuk kargo perut dan pengangkut adalah lebih tinggi, masing-masing pada 8.0 mata peratusan dan 3.0 mata peratusan.
Penyedia penyelesaian pengendalian daratnya, AeroDarat Services melaporkan peningkatan yang luar biasa dalam prestasi kewangannya, dengan keuntungan operasi tiga kali ganda di sokong oleh penerbangan yang lebih tinggi yang dikendalikan untuk segmen perniagaan penerbangan asing dan kumpulan.
MAB Academy, bahagian latihan serta pembangunan MAG, mencapai hasil yang amat positif daripada tahun sebelumnya, sementara MAB Engineering Services menghadapi cabaran akibat kekurangan tenaga kerja mahir. – Bernama