
KUCHING: Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Michael Kong menekankan kepentingan penglibatan industri dalam pembentukan dasar semasa sesi taklimat bersama Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTCA), baru-baru ini.
Sesi berkenaan turut dihadiri oleh wakil pengusaha bas henti-henti, bas ekspres, serta bas pekerja, menjadikannya platform penting untuk LPKP Sarawak membentangkan cadangan perubahan dasar serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pemain industri.
Menurut Kong, pandangan pengendali amat penting bagi memastikan setiap dasar yang dirangka bukan sahaja praktikal, malah bersifat inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan.
Antara cadangan utama yang dibentangkan ialah pelaksanaan penggunaan mandatori bas bandar berlantai rendah bagi perkhidmatan bas henti-henti.
Langkah ini bertujuan meningkatkan kebolehcapaian, khususnya bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, sekali gus mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif dan mesra pengguna.
Beliau turut mengumumkan had umur maksimum bagi pengoperasian bas henti-henti akan dikurangkan daripada 33 tahun kepada 30 tahun.
Langkah ini diambil bagi membolehkan pengeluaran kenderaan lama secara berperingkat, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan, dan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada penumpang.
Bagi perkhidmatan bas ekspres pula, Kong menegaskan kepentingan untuk melarang penyimpanan barangan komersial di dalam kabin penumpang, khususnya di atas tempat duduk.
Menurutnya, amalan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah boleh mendatangkan risiko serius sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan.
Oleh itu, semua barangan komersial perlu disimpan dalam ruang bagasi khas yang disediakan.
Kong menambah bahawa penglibatan aktif dengan sektor bas merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh LPKP Sarawak untuk memodenkan serta mempersiapkan industri kenderaan komersial negeri ini menghadapi cabaran masa depan.
Beliau turut menegaskan komitmen pihaknya terhadap prinsip kerjasama, ketelusan dan keterangkuman dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan.
Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, LPKP Sarawak dijangka akan terus melibatkan pemain industri lain termasuk pengusaha perkhidmatan lori, teksi, dan e-hailing dalam usaha merangka dasar pengangkutan yang lebih holistik.
Kong mengakhiri ucapannya dengan menegaskan dedikasi LPKP Sarawak dalam membina sistem pengangkutan awam yang cekap, berdaya saing serta berfokuskan rakyat.
Oleh Connie Chieng