
KUCHING: Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Anak Bunyam mengesahkan bahawa pihaknya sedang mengesan seorang suspek yang dikehendaki berhubung kes pembunuhan di sebuah ladang di Pantu, Sri Aman.
Menurut beliau, kejadian berlaku pada 16 April 2025 sekitar 4.30 petang, apabila Balai Polis Pantu menerima laporan mengenai satu pergaduhan melibatkan warga Indonesia di kawasan Ladang Fasa 2, Pantu.
Katanya, seorang lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat senjata tajam, dipercayai parang.
“Mangsa mengalami luka di leher, lengan kanan, tangan kanan, paha kanan serta tapak kaki,” jelas Dennis.
Suspek dikenal pasti sebagai Bakri Zaini, lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun dan berasal dari Makassar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan 435 Kanun Keseksaan.
Unit Siasatan Jenayah Daerah Sri Aman kini giat memburu suspek untuk membantu siasatan. Usaha mengesannya sedang dipergiatkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek diminta tampil ke hadapan dengan menghubungi Balai Polis Sri Aman di talian 083-322121, atau pegawai penyiasat ASP Kalang Buda di talian 019-3317785, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Connie Chieng