
SEPANG: Presiden China Xi Jinping hari ini berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
Pesawat Air China yang membawa Xi dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10.04 pagi.
Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Kehormat) mengadakan kawalan kehormatan untuk Xi sempena upacara pelepasan di Kompleks Bunga Raya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada delegasi tersebut.
Upacara pelepasan Presiden China itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzik tradisional Melayu, Cina dan India oleh Akademi Arjunasukma dari Gombak.
Menyerikan lagi suasana ialah persembahan pancaragam daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Yu Hua, Kajang; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya; serta Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pelbagai lagu dipersembahkan, termasuk lagu tempatan seperti Rasa Sayang dan Wau Bulan, Shake It Off, Setia, serta persembahan tradisional Tarian Dabus.
Presiden Xi memulakan lawatan negara pada Selasa atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Semalam, Xi diberi sambutan negara, diikuti dengan sesi menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara dan menghadiri jamuan negara bersama Seri Paduka Baginda.
Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana semalam, Anwar dan Xi membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China. Majlis itu diikuti dengan jamuan rasmi yang dianjurkan Anwar bagi meraikan kunjungan Xi.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri kunjungan Presiden China ke tiga negara Asia Tenggara, yang telah membawanya ke Vietnam sebelum ini. Ini adalah siri lawatan negara pertama beliau pada tahun ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN–China, Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China melalui dialog, keyakinan bersama, serta inisiatif yang berfokuskan rakyat.
Malaysia dan China menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan memperingati ulang tahun ke-50 pencapaian tersebut pada tahun lepas.
Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.
Pada 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion. – Bernama