
“EH, masih kalut nak hantar berita?”
Itu sapaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kemudian Tun) ketika saya sedang bergelut menyiapkan berita untuk dihantar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur setelah beliau menghadap Sultan Brunei dalam satu lawatan rasmi pada awal 1990-an.
Ketika itu, talian telefon tidak stabil dan kerap putus-putus.
Lokasinya adalah Istana Tetamu di Bandar Seri Begawan dan semua wartawan Malaysia ditempatkan di situ.
Kali pertama juga saya melihat dua tiga jenis minyak wangi berjenama disediakan di bilik tetamu yang agak mewah.
Ketika itu, Pak Lah sebagai Menteri Luar.
Inilah kali pertama saya bersemuka dengan Pak Lah.
Nasib baik saya tidak melatah dengan menjawab ‘jangan kacaulah, aku tengah sibuk’.
Apabila saya toleh ke belakang, rupanya Pak Lah dan saya terus bersalam dan memperkenalkan diri.
Sebenarnya ia bukan bersemuka kali pertama, tetapi Pak Lah bagaikan mengintai saya dari belakang.
Saya tidak pasti berapa saat beliau berada di sisi belakang saya dan saya syak Pak Lah sempat membaca sebaris dua berita yang saya sedang rangka ketika itu.
Namun, saya tidak berasa kekok atau segan kerana perwatakan Pak Lah yang begitu mesra meskipun kali pertama bersua dengan senyuman tidak lekang.
Bila bersalam, dia pegang erat tangan kita… terasa keikhlasan dan kesungguhan.
Kemudian, saya mengenali Pak Lah dengan lebih dekat apabila beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1999 dan seterusnya sebagai Perdana Menteri kelima pada 2003.
Sejak itu, saya berkesempatan mengikuti lawatannya ke beberapa negara seperti Afrika, Eropah, negara Arab, India, Amerika Syarikat (New York) dan Australia.
Ketika membuat liputan persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Doha, Qatar, yang dihadiri Pak Lah selaku Perdana Menteri, saya ditanya oleh seorang wartawan asing, apakah Pak Lah sehebat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana setelah ketiadaan Dr Mahathir memimpin negara, nama Malaysia bagaikan agak lengang di pentas antarabangsa.
Sebelum itu, saya turut mengikuti lawatan Dr Mahathir, ketika menjadi PM4, juga di Doha, apabila bilik sidang media penuh sesak dengan wartawan, kerana kehadiran Dr Mahathir.
Dia buka mulut saja, jawapannya bagaikan peluru berpandu mengulas isu semasa seperti Palestin, keganasan global, ketidak seimbangan antara negara maju dan negara membangun selain isu ekonomi.
Wartawan barat umpamanya memang suka ‘provoke’ Dr Mahathir untuk mendapatkan tajuk utama media.
Ketika penulis membuat liputan pada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Los Cabos, negeri baja California, Mexico pada Oktober 2002, wartawan asing menunggu kehadiran Dr Mahathir.
Ketika itu isu keganasan global. Malaysia diwakili Pak Lah selaku Timbalan Perdana Menteri.
Tiba-tiba seorang wartawan wanita memakai tag nama dari Perancis, bertanya kepada sekumpulan wartawan Malaysia ketika sidang rehat tengah hari. Kami semua memakai tag nama Malaysia.

Perwatakan Seorang Bapa
“Where is Mahathir, is he coming here”, katanya.
“No, but Mr Abdullah Badawi is here. Mahathir not coming,” jawab wartawan TV3 atau RTM, saya kurang pasti.
Bagaimanapun, kami lega kerana biasanya sebelum ini, apabila Dr Mahathir mengadakan sidang media, banyak isu yang ditanya adalah berkaitan dunia barat.
Sebab itu, lazimnya wartawan Malaysia mahu sidang media berasingan diadakan di hotel penginapan Perdana Menteri bukan di dewan persidangan terbuka, senang untuk turut bertanya isu dalam negara Malaysia.
Sememangnya ada sidang media diatur di hari terakhir persidangan atau lawatan Perdana Menteri ke luar negara.
Bila bab mengadakan sidang media di hotel, lazimmya soalan pertama Pak Lah kepada wartawan ialah ‘Kamu semua dah makan ke belum’.
Biasanya wartawan tidak sempat menjamah makanan kerana sibuk dengan tugasan dan ‘dateline’ yang ketat kecuali sebelah malam.
Namun, adalah pula wartawan ‘mengada-ngada’ jawab ‘belum makan Pak lah’.
‘Yakah… tak apa lepas ni, bawa dia orang keluar makan’ kata Pak Lah mengarahkan pegawainya di situ.
Itulah Pak Lah, pembawaannya bagaikan seorang bapa.
Lain pula dengan Dr Mahathir apabila mahu memulakan sidang media dan akan terus ‘straight to the point’ ‘Ahh, apa mahu tanya?’.
Perkataan ini juga dianggap sebagai ‘trade mark’ Dr Mahathir dalam kalangan wartawan.
Pada malam ketiga kami di Los Cabos itu pula, Datuk Seri Syed Hamid Albar (Menteri Luar ketika itu), tiba-tiba bertanya ‘mana nak cari teh tarik di sini’.
Saya selamba menjawab sambil melawak ‘Di sini tak ada teh tarik, Datuk Seri…. beer berlambaklah’.
Apa yang dimaksudkan oleh Syed Hamid ialah sama ada wartawan/juru kamera RTM ada bawa bekal bahan makanan termasuk teh, susu untuk buat teh tarik di hotel penginapan.
Memang lazimnya wakil RTM bawa bekal makanan apabila ditugaskan membuat liputan di luar negara.
Berbalik kepada pertanyaan wartawan asing di Doha mengenai sama ada Pak Lah sehebat Dr Mahathir.
Saya jawab ‘Abdullah Badawi differed from Mahathir who is more aggressive, attacking like a football striker, score goal and he like to win the match.
But Badawi is a gentleman, not aggressive but approachable’.
Mungkin hal ini kurang menarik minat wartawan asing yang lebih suka pendekatan ‘provocative’.
Tidak hairan apabila bilik sidang media disediakan untuk Pak Lah bersebelahan bilik utama persidangan OIC di sebuah hotel terkemuka di Doha, agak lenggang dan cuma diisi oleh wartawan Malaysia, pegawai Wisma Putra dan Pegawai Pejabat Perdana Menteri Malaysia dengan kehadiran seorang dua wartawan asing.
Tetapi pendekatan Pak Lah sekurang-kurangnya berjaya mengelak Malaysia daripada serangan yang tidak sepatutnya terutama dari dunia barat.
Pendekatan Pak Lah adalah berbaik dengan semua negara. Mungkin kerana pengalamannya sebagai Menteri Luar sebelum ini (1991-1999).
Contohnya, Singapura adalah ‘ulam kritikan’ Dr Mahathir dari isu air hingga kepada isu jambatan bengkok merentasi Johor.
Begitu juga bilionair Amerika Syarikat, George Soros yang didakwa Dr Mahathir sebagai penyebab krisis kewangan Asia 1997/98.
Tetapi Pak Lah lebih berhati-hati apabila menjawab soalan wartawan.
Mungkin dia sudah tahu risikonya apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan.
Bagaimanapun, saya bernasib baik apabila menghabiskan pusingan pentadbiran Pak Lah sebagai seorang wartawan, menyaksikan penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir kepada beliau pada 31 Oktober 2003 di Putrajaya sehingga penghabisan tempohnya pada 2 April 2009.
Malah turut diberi kesempatan untuk menemu ramah secara eksklusif di Pejabat Perdana Menteri.
Malah saya berkesempatan membuat liputan ucapan terakhirnya selaku Perdana Menteri di PWTC Kuala Lumpur pada 2009.
Banyak ucapannya meminta maaf.
Kocakan
Bagaimanapun, beberapa bulan sebelum meletak jawatan, saya mengesyaki sesuatu berlaku di Putrajaya.
Semacam ada kocakan di belakang tabir supaya Pak Lah mengundur lebih awal.
Bab ini biar saya coret dalam buku suatu hari nanti jika panjang umur dan ada kesempatan.
Ketika itu, saya juga kerap dihubungi stesen penyiaran televisyen BBC berpangkalan di Jakarta, untuk mengulas senario politik semasa dengan menamakan saya sebagai ‘wartawan politik Malaysia’ walaupun saya tidak pernah memberi gelaran seumpamanya.
Bagaimanapun, saya menolak dengan baik hasrat BBC untuk mengorek dengan lebih mendalam apa sebenarnya isu hubungan antara Dr Mahathir, Pak Lah, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Saya bukan pakar atau orang berpengaruh untuk membicara isu rumit, cuma pengalaman sebagai wartawan biasa yang kebetulan berdamping dengan nama-nama di atas dan kenalan rapat mereka.
Tidak lebih sebagai hubungan wartawan-politikus.
Pernah seketika, apabila menemu ramah salah seorang nama di atas (ketika sebagai menteri biasa) di pejabatnya, beliau menitiskan air mata menceritakan kisah diperkutak-katikkan oleh rakan dalam parti.
Bagaimanapun, semuanya ‘off the record’ bukan untuk pengetahuan umum.
Saya tidak sampai hati untuk mencelah ‘kalau takut dilambung ombak, jangan dirikan rumah di tepi pantai’.
Berbalik kepada kisah Pak Lah, setahun selepas menyandang jawatan Perdana Menteri, beliau mengetuai Barisan Nasional dengan cemerlang pada pilihan raya umum 2004, kemenangan paling cemerlang dalam sejarah negara dengan meraih hampir 90 peratus undian.
Dengan slogan ‘Bekerja bersama saya, bukan untuk saya’ memikat jiwa rakyat Malaysia.
Pada babak awal sebagai Perdana Menteri, kami sebagai wartawan juga terkejut apabila membelek teks ucapan Pak Lah yang menggunakan bahasa standard ‘Oxford’, bahasa berbentuk ‘jargon’ berbeza ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Wartawan yang kerap mengikuti program Pak Lah akan tahu hakikat perbezaan ini.
Suspek pertama saya di sebalik hal ini ialah menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ, lulusan dari University of Oxford.
Saya lupa untuk bertanya hal sebenar bab ini kepada KJ meskipun ketika menemu ramahnya secara ‘live’ sewaktu perhimpunan agung UMNO dari PWTC Kuala Lumpur pada Disember 2017, sempat mencuitnya dengan bertanya ‘mengapa saudara suka pakai stoking belang berwarna-warni.’
Ketika itu, beliau adalah Ketua Pemuda UMNO dan sudah fasih berbahasa Melayu berbanding sebelum itu, yang banyak berbahasa Inggeris. Maklumlah anak diplomat.
KJ berdepan isu ‘fourth floor boys’ merujuk kepada Pejabat Perdana Menteri di tingkat 4, di Putrajaya yang dikatakan dikuasai oleh anak-anak muda diketuai KJ.
Ketika Pak Lah menyandang jawatan Perdana Menteri pada 2003, KJ baru berusia 27 tahun.
Beliau berkahwin dengan anak tunggal perempuan Pak Lah iaitu Nori pada 2001.
Apabila prestasi BN merudum pada pilihan raya umum 2008, sudah mula kedengaran mendesak Pak Lah meletak jawatan.
Untuk tempoh setahun selepas itu, pelbagai isu ditimbulkan termasuk kritikan keras daripada Dr Mahathir.
Akhirnya Pak Lah undur diri.
Pengantinya, Najib beruntung kerana Pak Lah langsung tidak menganggu apatah lagi mencampuri urusan pentadbiran negara sebagai ‘bekas PM’.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tahap kesihatan Pak Lah semakin merosot hinggalah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur malam Isnin lalu.
Bagi Pak Lah, dia mencari Al-Ghazali, Al-Shafie, bukan untuk hidup kaya, bukan cari wang berjuta-juta, untuk hidup bergaya, bukan juga cari kawan-kawan, untuk hidup sekadar berfoya-foya seperti mana dinukilkannya dalam puisi bertajuk: ‘Ku Cari Damai Abadi’. (2004).
Al-fatihah.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.