
KUCHING: Sarawak perlu menyesuaikan dasar ekonominya selaras dengan perkembangan semasa, susulan pengenalan tarif baharu oleh Amerika Syarikat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata bahawa meskipun kesannya terhadap ekonomi mungkin kelihatan minimal, ia tidak boleh dipandang ringan. Tambah beliau, perubahan ini berpotensi memberi kesan terhadap harga minyak global, sedangkan gas dan minyak merupakan antara sumber pendapatan utama negeri ini.
“Harga minyak mentah kini adalah AS$65 setong tetapi kita anggarkan dalam bajet yang kita hitung sekitar AS$85 hingga AS$90 setong yang mana pengurangan sekitar AS$20.
“Hal ini bermakna hasil pendapatan kita akan berkurangan, maka kita tidak dapat menjangka dengan pasti apa yang akan berlaku sehingga hujung tahun ini dan menuju ke 2026.
“Dengan latar belakang ini, kita perlu menyesuaikan dasar ekonomi kita agar kita dapat terus kekal berkembang dan memastikan kita mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung komitmen yang telah kita buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.
Tambah beliau, antara langkah strategik yang bakal diatur adalah penyatuan aset bagi mendapat tahu nilai aset yang ada untuk tujuan analisa.
Ujarnya, kerajaan Sarawak akan cuba berinovasi dan menambah nilai kepada aset tersebut, selaras dengan perkembangan semasa, terutamanya dalam kalangan negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
“Kita perlu mencari kaedah dan pendekatan pengurusan aset yang dapat memberi kesan positif kepada keseluruhan ekonomi, walaupun terdapat beberapa penyesuaian dalam ekonomi dunia.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada minyak dan gas semata-mata.
“Kita perlu berinovasi dan memperkenalkan teknologi dalam usaha kita meningkatkan hasil pendapatan negeri berdasarkan aset yang ada,” jelasnya.
Tambahnya lagi, antara langkah strategik lain adalah dengan mencari sumber pendapatan baharu dalam rangka undang-undang yang ada, serta hak yang telah diperuntukkan kepada Sarawak menggunakan teknologi dan aset baharu.
Jelasnya, ini bermakna semua agensi dan sektor ekonomi kerajaan akan disatukan termasuk menyatukan semua aset kerajaan di bawah satu platform.
“Dengan cara ini, kita akan mencari kaedah dan pendekatan untuk menggunakan aset tersebut dan menjana pendapatan tambahan.
“Sebagai contoh, hidrogen adalah sebahagian daripadanya. Kita perolehnya daripada air kita.
“Jika kita menggunakan air untuk menghasilkan hidrogen, ini bermakna kita boleh mengenakan royalti ke atas penggunaan air tersebut.
“Ini akan membuka ruang kepada sumber pendapatan tambahan daripada air. Selain itu, komoditi hidrogen itu sendiri juga pasti akan memberikan pendapatan tambahan kepada kita,” jelasnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi SAINS Sdn Bhd Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan yang lain. – UKAS