
SIBU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyeru agar sebarang pertikaian atau perbicaraan mahkamah melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diselesaikan secara baik dan berhemah.
Beliau menegaskan bahawa kerja-kerja pengukuran tanah NCR tidak akan dilaksanakan sekiranya tanah tersebut masih terlibat dalam pertikaian undang-undang.
“Pengukuran hanya akan diteruskan selepas semua kes berkaitan ditarik balik daripada mahkamah. Oleh itu, saya menyeru agar perkara ini diselesaikan secara berhemah.
“Sekiranya selepas itu ingin menyertai semula Program Pengukuran Tanah NCR, permohonan baharu perlu dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah dan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Bahagian Sibu, hari ini.
Awang Tengah, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, turut mengingatkan bahawa setiap tuntutan ke atas tanah NCR perlu disertakan dengan bukti kukuh dan berdasarkan undang-undang yang sah.
“Penuntut mesti menunjukkan bukti bahawa tanah tersebut adalah milik mereka. Bukti ini akan disemak dan dibandingkan dengan rekod kerajaan. Jika berlaku pertindihan tuntutan, rundingan akan diadakan sehingga kesepakatan dicapai,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama daripada ketua kaum, ketua masyarakat dan pemilik tanah dalam menjayakan program pengukuran tanah NCR.
“Tanpa kerjasama, proses penyukatan akan tertangguh dan surat hak milik tidak dapat dikeluarkan dengan segera.
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar memberi sokongan penuh terhadap usaha murni kerajaan bagi memastikan kelancaran Program Pengukuran Tanah NCR,” kata beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.
Sehingga 28 Februari lalu, JTS Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter kira-kira 1,192,269 hektar tanah NCR di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, beliau, berkata sebanyak 935,760 hektar telah didaftarkan, dan diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN.
Selain itu, ujarnya, sebanyak 98,340 lot individu melibatkan kawasan seluas 117,051 hektar telah diukur di bawah Seksyen 18 KTN, dengan 32,185 lot membabitkan keluasan 45,000 hektar telah dikeluarkan surat hak milik.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang, ADUN Ngemah Anyi Jana, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Chua Soh Kee.
Oleh Akun Giman