KUCHING: Lawatan kerja Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais ke Kuala Lumpur dan Pahang baru-baru ini membuahkan hasil untuk jangka panjang bagi usahawan pertanian di Sarawak.
Lawatan dua hari itu adalah bagi meneroka bidang usahawan pertanian dan digital ekonomi yang akan memberi peluang kepada produk Sarawak melalui Digital Ekonomi di Sarawak.
Lawatan hari pertama beliau adalah ke kilang dan ladang durian di kawasan Raub Pahang iaitu Kampung Klau dan Kampung Stas.
Salah satu dusun durian yang dilawati beliau adalah dusun milik seorang usahawan berjaya bernama Vincent yang mengusahakan dusun seluas sembilan ekar dengan anggaran hasil tuaian sehari sebanyak RM50,000.
Di samping itu, Naroden juga membuat lawatan ke kilang pengeluar baja yang membekal baja kepada pekebun durian di sekitar selain memasarkan ke luar Negara, semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Baja yang dihasilkan untuk lima hingga lapan musim durian berbuah. Baja keluaran kilang tersebut boleh mempertingkatkan hasil pertanian kepada pekebun kecil termasuk tanaman lain seperti sawit, kelapa, mangga dan lain-lain.
Sementara itu, lawatan hari kedua, Naroden diberi taklimat oleh pasukan Helpy, iaitu rakan kepada HELPY Sdn Bhd yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk mengurus Sarawak Product Pavilion Kuala Lumpur (SPP) di pusat bandaraya Kuala Lumpur bermula 1 Julai 2020.
SPP KL itu lebih menggunakan konsep Digital Teknologi yang dibangunkan HELPY bagi meningkatkan promosi dan jualan produk usahawan Sarawak ke peringkat global.
Naroden sehubungan itu berharap agar lebih ramai usahawan dari Sarawak dapat memasarkan produk mereka melalui platform digital itu.
Naroden juga dijemput melawat Cardock Academy yang diusahakan oleh seorang lagi usahawan Sarawak berjaya dalam bidang gig ekonomi melalui platform YouTube iaitu oleh Mohd Fadil Isa atau lebih dikenali sebagai Cardock.
Beliau kemudian dibawa melawat bangunan akademi yang baharu saja beroperasi bulan ini. Cardock merupakan salah seorang pemegaruh berjaya melalui platform Youtube dan memberi peluang dan bimbingan melalui kursus Youtube kepada belia termasuk anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung .