

NADA merujuk pada sikap atau pandangan penulis terhadap subjek, penutur atau audiens, yang disampaikan melalui penggunaan bahasa. Ia sering digambarkan sebagai ‘suasana’ dalam puisi dan boleh merangkumi nada yang serius, formal dan santai.
Laurence Perrine (2018) dalam Perrine’s Literature: Structure, Sound and Sense mendefinisikan nada sebagai ‘sikap penulis atau pembicara terhadap subjek, audiens, atau dirinya sendiri’, dan menekankan bahawa nada ialah pewarnaan emosi atau makna emosional dalam sesebuah karya sastera.
Pandangan ini turut diperkuat oleh Edgar V. Roberts (1983) dalam Writing Themes About Literature, yang menyatakan bahawa nada merujuk pada makna di sebalik cara penyair mengungkapkan sikapnya. Dalam konteks ini, nada bukan sekadar apa-apa yang disampaikan, tetapi penyampaian sesuatu itu melalui pemilihan kata, struktur ayat, gaya bahasa dan teknik puitis yang lain.
Dalam mengenal pasti nada sesebuah puisi, pembaca perlu memberi perhatian yang teliti terhadap unsur-unsur seperti diksi, imejan, sintaksis, bahasa kiasan, serta rima yang digunakan oleh penyair. Imejan merujuk pada gambaran atau bayangan pancaindera yang dibina melalui kata-kata, seperti visual, bunyi atau sentuhan. Sintaksis pula merujuk pada susunan ayat dan struktur bahasa. Ayat yang pendek dan padat biasanya mampu menggambarkan ketegangan atau tekanan. Manakala ayat yang panjang dan beralun, melahirkan suasana tenang atau melankolik. Jelas bahawa setiap diksi yang dipilih oleh penyair mempunyai peranan khusus dalam menyampaikan emosi, suasana dan sudut pandangnya kepada khalayak, sekali gus memperkaya makna serta membentuk pengalaman estetika yang mendalam kepada khalayak pembaca.
Selain itu, nada dalam puisi juga bertujuan untuk menyampaikan emosi penyair. Melalui nada, khalayak pembaca dapat merasai emosi sebenar penyair sama ada sedih, marah, gembira, romantis, sinis atau pasrah. Di sisi yang lain, nada turut berupaya membentuk persepsi serta cara pembaca melihat dan memahami puisi. Dengan kata lain, penilaian pembaca terhadap sesebuah puisi banyak bergantung pada nada yang terbentuk melalui diksi yang dipilih. Justeru, untuk membina kesepaduan nada dan emosi dalam puisi, ketepatan pemilihan diksi oleh penyair amatlah penting. Hal ini dikatakan sedemikian kerana ketidaksesuaian nada boleh mengheret sesebuah puisi ke lembah kata yang klise, polos dan prosaik.
Penyair terkenal Amerika, Robert Frost, pernah menyatakan bahawa, ‘Poetry is when an emotion has found its thought and the thought has found words’. Kata-kata ini menekankan betapa pentingnya pemilihan kata dan nada dalam menyampaikan perasaan yang ikhlas dan mendalam. Nada bukan hanya menyentuh makna kata, tetapi menyentuh jiwa pembaca sehingga menjadikan puisi itu lebih daripada sekadar susunan ayat, malah sebuah pengalaman emosi. Dalam hal ini jelas bahawa nada dalam diksi bukan sekadar soal gaya bahasa, tetapi merupakan elemen penting yang menentukan suasana, emosi dan mesej dalam sesebuah puisi. Penyair yang mahir akan memilih kata-kata yang bukan hanya tepat dari segi maknanya, tetapi juga dari segi suara dan rasa.
Bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan memfokuskan kepada aspek kesepaduan nada dalam puisi. Tiga buah puisi yang dikupas ialah “Wajah Syurga” karya Noridah Daud, “Stesen yang Telahku Tinggalkan” karya Nabillah Bolhassan dan “Engkau Masih Ada” karya Claudia Simba. Selain nada, kupasan ini turut menyentuh aspek makna, bentuk, kekuatan dan kelemahan ketiga-tiga puisi yang diperkatakan.
Puisi pertama yang berjudul “Wajah Syurga” karya Noridah Daud menggambarkan perasaan kerinduan dan kehilangan yang mendalam terhadap seseorang yang telah pergi. Frasa “wajah syurga” yang menjadi judul puisi ini sudah cukup untuk menyampaikan makna yang mendalam kepada pembaca, iaitu merujuk pada raut wajah ibu, yang sering kali dianggap sebagai simbol kasih sayang dan pengorbanan.
Walaupun puisi ini boleh dianggap klise dalam menggambarkan wajah ibu, ia tetap mampu menyentuh emosi pembaca melalui pengungkapannya yang penuh keikhlasan dan kedalaman rasa. Penyair didapati berjaya menghidupkan perasaan rindu yang universal, menjadikan tema ini tidak hanya relevan kepada individu tertentu, tetapi kepada sesiapa yang pernah merasai kehilangan orang yang tersayang.
Melalui nada yang melankolik dan penuh kesedihan, penyair menyampaikan emosi yang kuat melalui baris-baris seperti, “Kurindukan wajah itu / Redup matanya“, yang menunjukkan betapa dalamnya rasa rindu terhadap orang yang telah meninggal dunia.
Wajah yang disebutkan dalam puisi ini bukan sekadar merujuk kepada rupa fizikal, tetapi kepada kenangan dan makna yang lebih mendalam. Dengan memilih kata-kata seperti “kerutan keringat tuanya“, penyair bukan hanya menggambarkan fizikal wajah, tetapi juga pengalaman dan perjalanan hidup seseorang yang telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup penyair.
Dari aspek bentuk, puisi ini bebas tanpa rima tetap. Keadaan ini memberi ruang kepada penyair untuk mengekspresikan perasaannya secara lebih bebas dan tanpa sekatan. Pengulangan kata “wajah” dan frasa “kurindukan wajah itu” memberikan penekanan terhadap kerinduan yang berterusan. Struktur ini juga menggambarkan kekosongan dan kesunyian, sesuai dengan tema kehilangan yang diperkatakan.
Walaupun begitu, struktur puisi yang agak serupa dalam setiap baris boleh menyebabkan puisi ini sedikit terasa monoton, dengan pengulangan yang berlebihan. Namun, ia tetap memberikan kesan mendalam dalam menyampaikan perasaan penyair.
Secara keseluruhannya, puisi “Wajah Syurga” mempunyai kekuatan yang besar dalam mengungkapkan emosi kerinduan dan kesedihan yang mendalam. Melalui pilihan kata yang penuh makna dan imejan yang kuat, penyair berjaya membawa pembaca merasai kesedihan dan kehilangan yang dialami. Walaupun ada kelemahan dalam pengulangan dan kekurangan variasi emosi, puisi ini tetap berkesan dalam menyampaikan maksudnya. Puisi ini mengingatkan kita tentang betapa kuatnya kenangan terhadap orang yang telah pergi, yang tetap hidup dalam hati dan fikiran kita, walaupun mereka sudah tidak lagi berada di dunia ini.
Puisi kedua, iaitu “Stesen yang Telahku Tinggalkan” karya Nabillah Bolhassan menggambarkan pengalaman emosi seorang insan yang kecewa apabila harapan dan impian yang ingin digapai tidak kesampaian. Nada puisi ini bersifat melankolik, iaitu memperlihatkan perasaan kecewa dan pasrah terhadap sesuatu yang telah berlalu. Hal ini dapat dilihat dalam frasa “pintu gerabak tertutup erat” yang melambangkan peluang yang sudah tidak terbuka lagi. Perasaan ini diperkuat dalam baris “kerana gerabaknya tidak lagi/ menginginkanku sebagai/penumpang”, menunjukkan penolakan yang dirasai oleh penyair secara halus namun mendalam.
Dari sudut makna, puisi ini membawa mesej tentang kehilangan peluang, kekecewaan dalam kehidupan atau cinta, serta kerelaan untuk melepaskan. Stesen dan gerabak menjadi simbol kepada tempat harapan dan perjalanan hidup, manakala penumpang lain menggambarkan bahawa orang lain telah menggantikan tempat penyair. Baris seperti “stesen ini menjadi tempa /singgah menanti gerabak menabur/impian ke destinasi/indah” membawa makna bahawa penyair pernah menaruh harapan besar, namun realitinya tidak seindah yang dibayangkan. Puisi ini juga mencerminkan fasa peralihan dalam hidup, darpadai penantian penuh harapan kepada penerimaan bahawa tidak semua impian akan terlaksana.
Dari aspek bentuk, puisi ini menggunakan bentuk puisi bebas tanpa ikatan rima atau rentak tertentu. Struktur baris yang pendek dan berselang-seli memberikan kesan seolah-olah setiap bait ialah serpihan pemikiran atau rasa hati yang sedang diurai. Pemisahan baris seperti dalam “kerana gerabaknya tidak lagi/menginginkanku sebagai/penumpang” memperlahankan ritma pembacaan dan menekankan rasa penolakan secara beransur-ansur. Teknik ini berkesan untuk menyampaikan kekosongan dan kepiluan yang dialami oleh penyair.
Antara kekuatan utama puisi ini ialah penggunaan simbolisme yang padu dan diksi yang ringkas tetapi bermakna. Metafora stesen dan gerabak sebagai perlambangan kepada hidup, harapan dan kekecewaan menjadikan puisi ini dapat ditafsir dalam pelbagai dimensi, iaitu cinta, kerjaya, persahabatan atau impian peribadi.
Namun begitu, satu kelemahan kecil yang dapat dikenal pasti ialah ketiadaan elemen kejutan atau kelainan yang menonjol dalam penyampaian puisi ini. Hal ini dikatakan sedemikian kerana tema kekecewaan dan kehilangan adalah sesuatu yang bersifat klise serta menuntut kelainan yang dapat menggugah jiwa pembaca. Kendatipun begitu, keikhlasan penyair dalam penyampaian dan gaya bahasa yang sederhana, menjadikan puisi ini tetap menyentuh dan mengesankan jiwa pembaca.
Puisi terakhir berjudul “Engkau Masih Ada” karya Claudia Simba menampilkan nada yang berubah secara beransur-ansur, iaitu daripada kesedihan yang mendalam kepada harapan yang perlahan-lahan tumbuh. Nada puisi ini bermula dengan suasana murung dan gelap, menggambarkan rasa kehilangan arah serta kesepian jiwa yang bergelora. Hal ini jelas terlihat dalam baris seperti “Hempasan ombak memukulku” dan “Di dasar lautan kesunyian, aku terkapai-kapai” yang memaparkan jiwa penyair yang terumbang-ambing dalam kehidupan yang penuh kekacauan dan kekosongan.
Namun, menjelang akhir puisi, nada berubah menjadi lebih optimistik dan membina, ditandai dengan seruan yang menghidupkan semangat: “Bangkitlah, katanya” dan “Engkau adalah kapal, yang gagah punya layar dan arah”. Perubahan nada ini mencerminkan satu proses pemulihan dalaman yang penuh harapan.
Dari segi makna, puisi ini membawa mesej yang cukup kuat tentang perjuangan batin, pencarian jati diri, serta kekuatan dalaman dalam menghadapi tekanan hidup dan kekosongan emosi. Penyair seolah-olah berada dalam konflik diri, iaitu antara terus bertahan atau menyerah kepada nasib. Baris “Aku bertanya pada bayang sendiri/Adakah aku hanyut kerana pasrah,/Atau tenggelam oleh mimpi yang mati?” menzahirkan persoalan eksistensial yang sering menghantui manusia saat mereka diuji. Namun, melalui suara halus yang muncul dalam kegelapan, seperti dalam frasa “Ada gemersik halus memanggil namaku/Berbisik lembut, ‘Engkau Masih Ada’”, puisi ini menyampaikan mesej bahawa harapan sentiasa wujud walaupun dalam kegelapan yang paling pekat.
Dari segi bentuk, puisi ini disusun secara bebas tanpa rima atau meter tetap, membolehkan aliran emosi bergerak secara semula jadi dan tidak terkekang. Pemisahan rangkap-rangkap membantu menonjolkan perubahan emosi dan perkembangan naratif iaitu daripada konflik dalaman kepada kebangkitan jiwa. Struktur ini juga memperlihatkan keseimbangan antara unsur luar (seperti ombak, rembulan, angin) dengan konflik dalaman (keraguan, pasrah, kesepian), menjadikan puisi ini lebih simbolik dan reflektif. Gaya bahasa yang digunakan pula puitis dan penuh perlambangan, seperti “menulis takdir di pasir” yang menggambarkan ketidaktentuan hidup dan kehilangan kendali terhadap masa depan.
Kekuatan puisi ini terletak pada penggunaan imej alam sebagai metafora untuk keadaan jiwa manusia. Gaya bahasa kiasan seperti “kapal yang gagah punya layar dan arah” bukan sahaja indah dari segi visual, tetapi juga memberikan inspirasi. Namun, jika ada kelemahan, ia mungkin terletak pada bahagian awal puisi yang agak padat dengan metafora kesedihan sehingga menimbulkan rasa murung yang agak berlarutan. Bagi sesetengah pembaca, keseimbangan antara emosi negatif dan positif hanya muncul di hujung puisi. Walau bagaimanapun, peralihan nada yang berlaku secara beransur-ansur menjadikan perjalanan puisi ini sangat bermakna, iaitu daripada kegelapan menuju cahaya. Aspek inilah yang menjadikan puisi ini bukan sahaja indah, tetapi juga menyembuhkan.
Kesimpulannya, berpandukan kupasan terhadap ketiga-tiga puisi di atas, jelas menunjukkan bahawa kesemua puisi ini berupaya menyepadukan nada dan emosi dengan berkesan. Bagi penyair pemula seperti Claudia Simba, keupayaannya menyusun diksi yang baik serta memanfaatkan unsur metafora yang berkesan dalam puisi menunjukkan satu potensi besar yang perlu digilap. Manakala bagi dua penyair yang lain, dapat dilihat wujudnya peningkatan yang ketara dalam pengkaryaan mereka.
Diharapkan ulasan ini dapat menambah baik mutu pengkaryaan dan akhirnya menanjak tingkat penciptaan puisi para penyair di tahap yang lebih cemerlang. Teruskan berkarya!
Oleh Dilah Tuah