KUCHING: Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai bertindak sebagai platform terbaik untuk memperkasa bidang pendidikan.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia secara tidak langsung dapat memastikan perhubungan antara warga pendidik sentiasa berjalan lancar.
Malah menurutnya, kerjasama antara pendidik penting untuk memastikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dapat melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai.
“Kita menubuhkan badan ini untuk memastikan lebih ramai golongan bijak pandai dan berilmu dapat dilahirkan.
“Badan muafakat juga membolehkan golongan pendidikan dalam bidang pendidikan sentiasa berhubung terutama melibatkan pemerkasaan bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hi Tea Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) turut menggesa Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai untuk mengariskan visi baharu bagi tempoh 10 tahun bermula 2020 hingga 2030.
“Ia termasuk melibatkan usaha untuk memperkasa bidang teknologi di sekolah termasuk melibatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Kita boleh berbincang agar kualiti pendidikan kita berada pada tahap terbaik dan kita mampu melahirkan pelajar yang berkemampuan tinggi,” ujarnya.
Menjelang tahun 2030 katanya, Sarawak memerlukan lebih ramai golongan ilmuan dan cendiakawan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja selaras dengan perancangan kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi.
“Kita perlu menyediakan golongan bijak pandai bermula dari sekarang bagi memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa depan,” jelasnya.
Hadir sama Pengerusi Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai Affida Helmi dan Pengerusi Biro Pendidikan N.4 Pantai Damai Siti Suhaila Majdi.
Oleh Diyana Samsuddin