KUCHING: Masih banyak usahawan wanita Sarawak yang terjejas tidak layak untuk memohon bantuan kerana tidak memenuhi kriteria utama permohonan iaitu mesti memiliki lesen atau permit perniagaan, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, bagi mengatasi masalah perniagaan kepada usahawan Sarawak yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19, Kerajaan Persekutuan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) iaitu PrihatinPKS+ telah memberikan Geran Khas Prihatin yang berjumlah RM3,000 untuk setiap pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro.
“Manakala Kerajaan Sarawak menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0 memberikan Dana Khas yang berjumlah RM1,500 kepada 65,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penangguhan Program Perlesenan Perniagaan Usahawan Wanita Sarawak di Wisma Wanita, di sini, kelmarin.
Fatimah berkata, menerusi Task Force yang ditubuhkan pelbagai agensi akan memainkan peranan bersama turun padang ke kawasan yang terjejas, sekali gus dapat membantu menyediakan usahawan wanita dengan pendaftaran perniagaan dan lesen perdagangan bagi memastikan mereka dapat memohon bantuan yang diberikan oleh Kerajaan pada masa depan.
Sementara itu, katanya, bagi pendaftaran perniagaan dan lesen dagangan, agensi yang terlibat akan mengutip bayaran berdasarkan perkara yang dipohon oleh usahawan.
Dalam perniagaan, usahawan mestilah turut memainkan peranan dengan berusaha menjana modal sendiri dan memastikan perniagaan yang dilakukan adalah sah supaya mampu bersaing, katanya.
“Manakala bagi perniagaan yang tidak memiliki premis sendiri tetapi memerlukan alamat dalam permohonan, SEDC menerusi Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) dan SMA menerusi TEGAS Digital Innovation Hub, usahawan boleh menggunakan alamat tersebut bagi mendaftar perniagaan dan lesen perdagangan mereka,” jelasnya.
Fatimah berkata, bagi permohonan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) di daerah Dalat setakat 11 Jun 2020, sebanyak 903 permohonan diterima namun 88 pemohon sahaja yang diluluskan iaitu 9.7 peratus.
“Bagi daerah Kuching, kita mensasarkan seramai satu ratus usahawan akan diluluskan permohonan pendaftaran perniagaan dan lesen perdagangan mereka melalui pelaksanaan program ini manakala bagi daerah lain kita juga berharap bilangan yang sama,” katanya.
Terdahulu, seramai 98 usahawan wanita Sarawak di Kuching menyertai Program Perlesenan Perniagaan Usahawan Wanita Sarawak selama dua hari di Dewan Utama, Wisma Wanita di sini.
Antara agensi terlibat da;am program itu adalah Jabatan Wanita dan Keluarga (JWKS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH), Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEX), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); dan Pejabat Daerah.
Hadir sama Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus; Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dr. Saadiah Abdul Samat; dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Noriah Ahmad.
Oleh Cheryl Law