
PETRA JAYA: Sarawak bakal mencipta sejarah sebagai tuan rumah pertama International Construction Week (ICW) Borneo 2025 dan BuildXpo, yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Mei ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 13 Mei, manakala kemuncak acara iaitu Construction Sustainability Summit (CSS) turut menampilkan ucaptama Timbalan Premier Sarawak dan Penasihat Kanan Presiden Indonesia, Dr. Ir. Resdiansyah.
Bertemakan ‘Pembinaan Inovatif untuk Masa Depan Mampan’, acara anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari Malaysia dan negara ASEAN, termasuk pakar industri, penggubal dasar serta pemain antarabangsa.
Menurut Pengurus Besar Komunikasi Korporat CIDB, Noryani Ismail, program ini dirangka berdasarkan maklum balas industri pembinaan tempatan, yang mahu menjadikan projek Sarawak sebagai contoh pembelajaran.
Oleh itu, ICW Borneo juga berperanan sebagai platform untuk membina jaringan dan memperluaskan pasaran kepakaran tempatan ke peringkat serantau.
Antara tarikan utama ialah BuildXpo, pameran perdagangan rasmi dengan lebih 60 reruai mempamerkan bahan binaan pintar, penyelesaian teknologi terkini serta amalan pembinaan hijau.
Selain itu, pelbagai forum dan bengkel profesional turut ditawarkan bersama mata CCD dan CPD.
Penceramah antarabangsa turut dijemput termasuk John Hardy (Pengasas Sekolah Hijau Bali), Prof. Neil Thomas (Atelier One), Phyllis Chong (Rubner Timber Engineering) dan Si Kok Siong (Gamuda Engineering).
Penyertaan ke pameran adalah percuma, manakala bayaran dikenakan untuk menyertai persidangan, RM150 untuk peserta umum dan RM100 untuk pelajar. CIDB juga menggalakkan penajaan pelajar universiti oleh organisasi korporat untuk menyokong pembelajaran generasi muda.
ICW Borneo diharap dapat memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pembinaan serantau, selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Oleh Amanda L.