
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa insentif tunai berjumlah RM1,200 kepada pelajar akan mula disalurkan dalam tahun ini menggunakan aplikasi Sarawak Pay (S Pay Global).
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, bantuan tersebut tidak diberi sekali gus, sebaliknya secara berperingkat bagi memastikan pelajar tidak berbelanja secara boros.
“Insentif tersebut bakal disalurkan sebelum akhir tahun ini bagi mengelakkan peruntukan tidak dimanfaatkan dan harapnya dalam beberapa bulan lagi, kita dapat laksanakan.
“Baru-baru ini saya baru balik dari Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang dan perkara ini turut dibangkitkan oleh pelajar. Mereka tunggu bantuan ini dan sangat berharap,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan menyempurnakan majlis Perasmian Pertandingan Inovasi STEM Kota Samarahan 2025 (PinKS @ UiTM 2025) di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau menyatakan cadangan melaksanakan pendidikan percuma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak masih berada di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
“Perbincangan rasmi dengan UiTM belum lagi dilaksanakan kerana ia memerlukan keputusan di peringkat lebih tinggi.
“Fasa pertama ini pun belum mula, jadi kita nak laksanakan fasa pertama terlebih dahulu dan kemudian kita lihat perkembangannya bagaimana,” jelasnya.

Beliau turut mengulas lanjut isu pengambilan guru, bahawa jumlah pengambilan guru baharu kini hampir memenuhi kuota yang ditetapkan, namun kekosongan tetap berlaku dari semasa ke semasa.
“Kita ada bilangan guru yang tinggi sebenarnya. Tetapi dari semasa ke semasa, memang akan ada kekosongan kerana persaraan, perletakan jawatan dan pelbagai sebab lain.
“Kekosongan ini akan terus diisi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui guru-guru lepasan institut pendidikan guru.
“Pengambilan untuk masa ini boleh dikatakan mencukupi, kuota yang ada sekarang ini pun hampir penuh dan berkaitan data jumlah keseluruhan jumlah guru yang direkrut, tunggu pengesahan rasmi daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS),” ujarnya.