KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima dua kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.
Tujuan kunjungan hormat pertama daripada rombongan ASTRO yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan adalah bagi tujuan membincangkan kolaborasi dalam bidang media dan penyiaran dengan Kerajaan Sarawak.
Manakala, kunjungan hormat yang kedua daripada pihak rombongan Regional Islam Da’wah Council of Southeast Asia & the Pacific (RISEAP) yang diketuai oleh Setiausaha Kehormat, Datuk Marzuki Omar adalah bertujuan untuk memaklumkan mengenai perkembangan terkini RISEAP.
Menurut kenyataan daripada pihak RISEAP, ia telah ditubuhkan pada bulan November 1980 dengan objektif untuk memupuk perpaduan dan kerjasama di antara organisasi Muslim di rantau ini.
Selain itu, ia juga bertujuan membantu dan menyokong organisasi anggota dalam memberikan pendidikan yang mencukupi dan sistematik untuk minoriti Muslim di rantau ini.