
KOTA SAMARAHAN: Di sebalik aroma menggoda nasi dagang dan nasi kerabu yang menyapa setiap petang dari sebuah gerai kecil di Warong 2000, tersembunyi kisah ketabahan dan kasih antara dua budaya, menghidangkan bukan sekadar juadah tradisional, tetapi juga warisan rasa, kekuatan keluarga dan impian masa depan.
Nur Sarah Adiba Abdullah, 51, seorang wanita Iban dari Sri Aman, dan suaminya, Mohd Mahri Abdul Aziz, 53, berasal dari Terengganu, bersama-sama membina perniagaan kecil mereka yang dinamakan ‘Warisan Ori Terengganu’, berasaskan resipi turun-temurun keluarga.

Gerai mereka bukan sahaja menarik pelanggan dengan keenakan masakan Pantai Timur, malah menjadi simbol perpaduan dan semangat keusahawanan keluarga yang berakar daripada cinta dan saling memahami dua budaya berbeza.
“Saya memeluk Islam dan berkahwin dengan suami, kemudian menetap di Semenanjung sebelum kami mengambil keputusan untuk berpindah ke Sarawak pada 2021, ketika negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19,” kata Nur Sarah Adiba Abdullah.
“Kami memulakan perniagaan ini selepas berpindah ke sini apabila orang tua di kampung telah tiada dan rumah lama dibiarkan kosong di Sri Aman kemudian berpindah lagi dan kini kami menetap di Kota Samarahan.
“Segalanya bermula dengan rasa ingin mencuba pasaran dan berkongsi cita rasa Pantai Timur kepada masyarakat setempat di Bumi Kenyalang, dan juga ingin mengubat rindu orang Pantai Timur yang terkandas di Sarawak akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Warong 2000, semalam.

RESIPI TURUN-TEMURUN IBU MENTUA
Sarah, yang sejak dahulu gemar menikmati nasi dagang, mula belajar memasak hidangan itu berdasarkan resipi turun-temurun daripada ibu mentuanya.
“Mula-mula saya suka makan nasi dagang masa tinggal di sana. Bila pergi kedai viral, balik rumah cuba masak dan ajak kawan-kawan rasa. Bila kawan bagi maklum balas positif, barulah timbul keyakinan untuk mula menjual,” katanya sambil tersenyum mengenang detik awal permulaan mereka.

Menurutnya, rempah ratus yang digunakan dalam masakan masih dibawa khas dari Terengganu bagi memastikan rasa yang autentik tidak berubah.
“Penyediaan semua dibuat di rumah. Kami masak dan siapkan awal, kemudian bawa ke gerai untuk dijual bermula petang hingga malam,” jelasnya.
Tambah Sarah, resipi yang digunakan adalah warisan ibu mentuanya dan dijaga dengan teliti agar rasa asli nasi dagang Terengganu itu terus kekal.
“Resipi ini warisan mak mentua. Kami jaga sungguh-sungguh supaya rasa tak lari,” ujarnya.
PARU SAMBAL MENU ISTIMEWA

Tambah Sarah, antara menu istimewa yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggan ialah paru sambal, yang memerlukan penyediaan rapi dan mengambil masa yang agak lama.
“Paru kami rebus dulu, hiris nipis, goreng dengan kunyit, kemudian baharu dimasak sambal. Nak siapkan satu hidangan tersebut ambil masa hampir dua jam,” katanya.
Menurutnya, pada awal perniagaan, dia hanya menyediakan sekitar satu kilogram paru sambal setiap hari. Namun, permintaan pelanggan yang semakin meningkat memaksanya menambah kuantiti.
“Sekarang, saya perlu sediakan hingga lima kilogram paru sambal setiap hari untuk dijual kerana permintaan sangat tinggi,” jelasnya.
Selain dijual di gerai, pasangan itu juga menerima tempahan khas daripada pelanggan tetap yang ingin menghidangkan nasi kerabu dan nasi dagang dalam majlis istimewa seperti kenduri dan jamuan.
Dalam pada itu, Sarah turut mengakui bahawa perjalanan keluarganya dalam dunia perniagaan tidak semudah yang disangka, penuh ujian dan cabaran yang menguji kekuatan mental dan emosi.
“Perniagaan pernah terhenti seketika kerana kesihatan suami yang merosot, menyebabkan kami terpaksa tutup gerai. Kadang buka, kadang tutup hingga dua minggu lamanya,” katanya.
CABARAN PALING BESAR
Jelasnya lagi, detik itu merupakan antara cabaran paling besar yang mereka hadapi.
“Tipu kalau saya kata tak ada rasa nak mengalah. Bila suami sakit, saya risaukan keluarga, kewangan, semuanya bercampur. Tapi bila fikir pelanggan tetap yang tunggu, yang tanya dan semangat itu datang balik. Itu yang buat kita tak putus asa,” luah Sarah.
Kini, beliau bersyukur kerana banyak dibantu oleh anak sulungnya yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Pada hujung minggu, gerai Warisan Ori Terengganu yang diusahakan Sarah dan keluarganya mampu menjual sehingga 100 bungkus sehari. Keuntungan bersih pula mencecah antara RM500 hingga RM600 sehari apabila digabungkan dengan tempahan luar, manakala hasil jualan di gerai sahaja dianggarkan sekitar RM200 hingga RM300 sehari.
Melihat kepada sambutan yang semakin menggalakkan, Sarah kini menyimpan impian untuk membuka sebuah dapur pusat bagi memastikan konsistensi rasa setiap hidangan jika mereka membuka lebih banyak gerai kecil pada masa akan datang.
“Pesan saya kepada peniaga baru, kena sabar, kenal potensi diri. Jangan ikut benda viral kalau kita tak tahu buat. Kaji pasaran dulu, baru mula,” katanya penuh yakin.
Bagi Sarah, warisan bukan hanya sekadar tentang resipi turun-temurun, tetapi juga tentang cinta, kesetiaan, dan semangat yang tidak pernah padam dalam diri untuk terus berjuang, walau apa pun cabaran yang mendatang.
Oleh Masrin Affirah