KUCHING: Seramai 27 peserta projek ternakan dari dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN N.19 Mambong dan DUN N.20 Tarat menerima sijil tawaran projek di bawah projek rakyat yang dikenali sebagai Agriculture Facilitation Program (AFP) di Kampung Sarig, Siburan dekat sini semalam.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, daripada jumlah 27 peserta itu, 10 peserta projek ternakan ayam pedaging, 11 peserta projek ternakan khinzir, empat peserta projek itik penelor, seorang peserta projek ternakan lembu dan seorang peserta projek burung walit.
“Peserta projek ternakan ini adalah dari dua kawasan DUN (Tarat dan Mambong). 11 daripadanya dari Mambong dan selebihnya dari Tarat,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan input projek ternakan bagi DUN N.20 Tarat dan DUN N.19 Mambong di Dewan Kampung Sarig, Siburan, di sini, semalam.
Menurutnya, input yang diserahkan termasuk palung minuman untuk projek ayam pedaging dan itik penelor, “twitter” (alat bunyi untuk projek burung walit), ubat cacing untuk projek khinzir dan garam (mineral block) untuk projek lembu.
Roland Sagah berkata, nilai projek yang diluluskan untuk setiap peserta adalah berbeza bergantung kepada jenis projek iaitu antara RM5,000.00 hingga RM50,000.00 untuk seorang peserta.
“Peruntukan ini adalah untuk membeli input projek ternakan yang diluluskan seperti bahan binaan untuk kandang ternakan, peralatan termasuk makanan dan ubat-ubatan ternakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, jumlah peruntukan yang diluluskan untuk kesemua 27 peserta ialah RM330,000.00. RM120,000.00 untuk DUN N.19 Mambong dan RM210,000.00 untuk DUN N.20 Tarat.
“Ini merupakan peruntukan khas dari Kerajaan Sarawak untuk membantu penternak membangunkan projek ternakan masing masing dengan tujuan untuk menambahkan pendapatan penternak,” katanya.
Beliau menjelaskan, anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Bahagian Serían akan mengagihkan semua input berkaitan kepada peserta dan memantau segala kerja pembangunan infrastruktur.
Beliau berharap agar semua peserta dapat bekerjasama dengan JPV dan khidmat nasihat serta bimbingan dari JPV yang merupakan Jabatan Kerajaan yang bertangungjawab serta mempunyai kepakaran dalam bidang penternakan.
Kerajaan Sarawak menetapkan untuk menjadi pengeksport makanan menjelang tahun 2030, katanya.
“Untuk mencapai ini maka kita perlu meningkatkan pengeluaran agro makanan termąsuk ternakan dan hasil ternakan,” ujarnya.
Tambahnya, Sarawak mempunyai potensi yang sangat baik untuk mengeluarkan ternakan serta hasil ternakan untuk dieksport.
“Ini disebabkan Sarawak mempunyai kelebihan dari segi status penyakit ternakan dan Sarawak adalah bebas daripada penyakit ternakan yang berkepentingan ekonomi seperti Penyakit Kuku dan Mulut (FMD), Penyakit African Swine Fever (ASF) dan Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI),” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Sajem Jinim; Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah, Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Edwin Ebit; Residen Bahagian Serian, Tuah Suni; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak, Siang Mandaw dan Pegawai Pertanian Bahagian Serian, Hasana@ Rosna Gani.
Oleh Cheryl Law