

LONDON: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan lewat bagi menewaskan West Ham United 2-1 di Stadium London malam tadi, sekali gus membolehkan The Reds terus menghampiri mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kemenangan itu membolehkan Liverpool menjarakkan kedudukan kepada 13 mata di hadapan pencabar terdekat, Arsenal, dengan saingan kini hanya berbaki enam perlawanan.
Gelaran EPL ke-20 dalam sejarah kelab itu berpotensi dirangkul seawal Ahad depan sekiranya mereka menewaskan Leicester City dan Arsenal tewas kepada Ipswich Town.
Perlawanan bermula dengan penuh semangat apabila Mohamed Salah menerima sambutan gemuruh daripada penyokong selepas menandatangani kontrak baharu selama dua tahun.
Salah mempamerkan aksi bertenaga pada awal permainan dan berjaya mencatat rekod baharu EPL dengan 45 jaringan atau assist musim ini, rekod terbanyak dalam musim 38 perlawanan.
Beliau mengatasi pertahanan muda West Ham, Ollie Scarles sebelum melakukan hantaran lintang yang disudahkan oleh Luis Diaz untuk gol pembukaan pada minit ke-18.
Namun, kelebihan itu tidak kekal apabila pemain pertahanan, Andy Robertson tertampan bola ke gawang sendiri empat minit sebelum tamat perlawanan hasil hantaran silang Aaron Wan-Bissaka.
Tidak lama selepas gol penyamaan itu, Van Dijk menebus kesilapan di pertahanan apabila menanduk masuk sepakan sudut Alexis Mac Allister, hanya tiga minit kemudian.

West Ham hampir menyamakan kedudukan sekali lagi dalam masa kecederaan menerusi percubaan Niclas Fullkrug, yang terkena palang, namun Liverpool berjaya bertahan untuk mencatat kemenangan penting.
Kekalahan itu menyebabkan West Ham tergelincir ke tangga ke-17 liga dan terus bergelut di zon penyingkiran.
Sementara itu, Liverpool di bawah kendalian Arne Slot kini hanya memerlukan enam mata sahaja lagi untuk menjulang trofi liga dalam musim pertamanya bersama kelab Merseyside itu. – AFP