
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menziarahi kediaman Dato Sri Tajang Laing bagi memberikan penghormatan terakhir serta menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Datin Sri Debong Anyie, yang menghembuskan nafas terakhirnya semalam.
Dalam kunjungan tersebut, Abang Johari menzahirkan rasa sedih dan penghargaan terhadap sumbangan besar mendiang dalam memperjuangkan hak dan pembangunan wanita, terutamanya dalam komuniti Orang Ulu.
“Kita telah kehilangan seorang wanita yang telah banyak berjasa kepada wanita, khasnya kepada komuniti Ulu.
“Mendiang melakukan pekerjaan yang baik dengan memberi inspirasi kepada komuniti wanita Ulu, terutamanya semasa kebelakangan 80-an,” katanya semasa ditemui media hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi bekerja bersama mendiang di Belaga, yang mana mendiang aktif dalam kerja-kerja sosial dan mempromosikan kepentingan pendidikan dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Mendiang Datin Sri Debong Anyie dikenang sebagai seorang tokoh wanita yang berdedikasi dan sentiasa memperjuangkan kesejahteraan komuniti, khususnya dalam aspek pendidikan dan pemberdayaan wanita.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigressen dan Pemantaun Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang serta ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon. – UKAS