
LUNDU: Seramai 115 penduduk Kampung Raso 2 hadir bagi menjayakan program gotong-royong penyambungan paip dari rumah ke rumah pada semalam, melibatkan pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 bernilai RM50,000.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang yang turun padang meninjau sendiri kemajuan projek tersebut, yang dijangka memberi manfaat kepada 170 rumah.
Projek ini merupakan kesinambungan kepada usaha menaik taraf sistem paip graviti yang telah dimulakan pada tahun 2023 di bawah inisiatif RTP.
Pendekatan gotong-royong dipilih bagi memaksimumkan penggunaan dana yang tersedia, terutamanya bagi pembelian bahan sistem perpaipan kampung.
Dalam ucapannya, Ketua Kampung Raso 2, Jomen Lidip menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Billy yang sentiasa mengambil berat isu rakyat.
“Projek demi projek diperuntukkan demi kesejahteraan rakyat di ma na kita amat bersyukur dan berterima kasih kepada Billy atas komitmen dan sumbangannya,” ujar beliau.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Penguasa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daerah Lundu, Hastomo Tommy, Penghulu Jinep Jiheng, Ketua Kaum Jeli Lahet dan Ketua Kaum Jihen Ahsiew.
Projek ini menjadi bukti bagaimana inisiatif kerajaan melalui RTP boleh memberi impak besar kepada kesejahteraan penduduk luar bandar, di samping memupuk semangat kerjasama dalam komuniti. – UKAS