
SIBU: Usaha menyusun semula pelbagai persatuan kaum Melanau di seluruh Sarawak sedang giat dilaksanakan bagi memperkukuh peranan komuniti tersebut dalam pelbagai sektor pembangunan negeri.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif itu turut melibatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau dan Yayasan Mukah bagi memastikan semua persatuan dapat digerakkan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Kita dalam usaha untuk mengurus serta menyusun semula persatuan Melanau dan Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau agar dapat membantu memperkasakan peranan komuniti ini. Dengan kerjasama yang ada, kita yakin dapat memperkuatkan lagi peranan persatuan dalam sektor penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Berlanggar Meja Persatuan Melanau Sibu (PMS) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut beliau, pendekatan menyeluruh itu bertujuan mengaktifkan semula persatuan yang tidak aktif selain meningkatkan penglibatan generasi muda dalam memelihara warisan budaya dan bahasa Melanau.
“Kita lihat ada banyak persatuan yang kurang aktif, mungkin disebabkan kurang pendedahan atau penyertaan masyarakat setempat. Dari aspek keterlihatan dan penglibatan, kita perlukan lebih banyak aktiviti agar peranan persatuan ini dapat digiatkan semula,” katanya.
Len Talif menegaskan bahawa peranan persatuan Melanau tidak hanya tertumpu kepada kebajikan semata-mata, malah perlu menjadi jambatan hubungan antara komuniti Melanau dan kaum lain serta pemangkin perpaduan di kawasan masing-masing.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan penggunaan bahasa Melanau dalam kalangan generasi muda, sambil menekankan perlunya dokumentasi bahasa dan budaya Melanau dilakukan secara sistematik.
“Kita sedang berusaha membukukan istilah dan budaya Melanau. Selama ini budaya Melanau banyak dituturkan secara lisan. Jika tiada dokumentasi, ia akan hilang begitu sahaja,” katanya sambil menambah kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang diusahakan.
Beliau turut menyentuh tentang kepelbagaian dialek Melanau yang berasaskan kawasan sungai dan bagaimana jaringan jalan yang lebih baik masa kini telah membuka ruang interaksi lebih luas antara komuniti Melanau dari pelbagai daerah.
“Ini membantu menyatukan masyarakat Melanau dari pelbagai kawasan pesisir serta mengukuhkan perpaduan,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Persatuan Melanau Sibu (PMS) sebagai antara organisasi penting dalam sejarah komuniti Melanau, memandangkan ia merupakan persatuan tertua ditubuhkan sejak 1958.
“Persatuan Melanau Sibu ialah satu-satunya yang tertua, sudah 67 tahun sejak ditubuhkan. Sibu pula mempunyai jumlah komuniti Melanau yang besar, termasuk dari Mukah, Igan, Matu, Daro dan Rajang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar lebih banyak persatuan Melanau dari pelbagai daerah di Sarawak akan bergabung tenaga dalam menjayakan usaha penyatuan dan pengembangan budaya kaum Melanau.
Oleh Tarani Lanting