
MARUDI: Ahli Majlis memainkan peranan penting dalam sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan tanggungjawab utama merangka dasar dan polisi, merancang pembangunan tempatan, serta melaksanakan inisiatif untuk memperkasakan komuniti ke arah kehidupan yang mampan.
Pengerusi Majlis Daerah Marudi (MDM), Kaunselor Edward Mendai, berkata setiap Ahli Majlis perlu melengkapkan diri dengan kefahaman menyeluruh mengenai fungsi teras dan perkhidmatan utama PBT, termasuk perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak majlis.
Pengetahuan ini penting bagi memudahkan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis.
“Tanggungjawab sebagai Ahli Majlis bukan sekadar menghadiri mesyuarat, tetapi memerlukan komitmen turun padang untuk mengenal pasti permasalahan serta memahami keperluan sebenar masyarakat setempat,” tegas beliau.
Menurutnya, dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan yang berorientasikan hasil, Ahli Majlis perlu sentiasa peka terhadap keperluan semasa dan kepentingan awam.
Tambahnya, ini membolehkan mereka menyumbang idea serta cadangan bernas demi memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan majlis dan menyokong matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Sarawak sedang menuju ke arah menjadi sebuah masyarakat yang maju, didorong oleh data dan inovasi, yang mana semua rakyat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar menjelang 2030,” katanya.
Edward turut menekankan bahawa kerjasama erat dan hubungan yang baik antara Ahli Majlis serta kakitangan majlis merupakan kunci kejayaan dalam menjayakan visi dan misi organisasi secara menyeluruh.
Dalam majlis yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Ahli Majlis atas jasa dan sumbangan mereka kepada masyarakat dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Marudi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis Majlis Daerah Marudi bagi penggal 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028 di Bilik Mesyuarat MDM di sini hari ini.
Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.
Seramai 32 Ahli Majlis telah dilantik bagi penggal kali ini, termasuk sembilan muka baharu daripada pelbagai latar belakang parti politik di bawah naungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Turut mencuri tumpuan adalah pelantikan Ivy Goh Ying Hui dari SUPP merupakan ahli majlis termuda kali ini, pada usia 25 tahun.
Oleh Jiku Juguong