

PETRA JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang anggota polis yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Tun Salahuddin, Petra Jaya semalam masih gagal menemui hasil meskipun memasuki hari kedua pencarian.
Mangsa, Haffiz Abdullah Sapwan, 34, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai sekitar 9.29 pagi semalam dan hingga kini masih gagal dijumpai.
Unit penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan serta BBP Batu Lintang bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurut Komander Operasi Kanan, Tan Min Chai, pasukan SAR memulakan pencarian seawal 6.30 pagi hari ini, menggunakan sebuah bot penyelamat dan teknik pencarian di permukaan air sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Pada 10.45 pagi, Pos Kawalan Bomba (PKB) menerima maklumat daripada Pasukan Sarawak Coast Guard mengenai pengesanan objek menyerupai jasad manusia melalui imbasan sonar di dasar sungai.
Susulan itu, dua anggota PPDA telah melakukan selaman pertama pada 10.55 pagi bagi mengenal pasti objek berkenaan.
Bagaimanapun, hasil selaman pada 11.00 pagi tidak menemui sebarang objek yang dimaksudkan.

Operasi SAR kemudiannya ditangguhkan sementara pada pukl 12.06 tengah hari untuk memberi ruang kepada anggota penyelamat berehat.
Pencarian disambung semula pada 1.00 petang dengan kawasan sekitar baraj menjadi tumpuan pencarian, yang menggunakan kaedah pencarian permukaan air.
Unit PPDA kemudiannya beredar dari lokasi pada 5.20 petang manakala pasukan SAR lain meneruskan usaha pencarian menggunakan teknik flushing.
Hingga 6.22 petang tadi, mangsa masih gagal ditemui dan hasil perbincangan antara semua agensi terlibat, operasi SAR ditangguhkan dan akan disambung semula keesokan hari.
Oleh Amanda L.