
LINGGA: Penyaluran pelbagai bentuk bantuan terutamanya dalam aspek pendidikan kepada pelbagai lapisan rakyat di negeri ini menjadi bukti keprihatinan kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata pelbagai bantuan untuk golongan pelajar, terutamanya yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khasnya itu diyakini mampu meringankan beban yang ditanggung terutama kepada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.
“Pelbagai kemudahan disediakan bagi membantu anak Sarawak melanjutkan pelajaran terutamanya daripada Yayasan Sarawak, yang menyediakan bantuan laptop percuma kepada pelajar yang memasuki IPT pada tahun pertama. Untuk makluman, permohonan ini akan ditutup pada 30 April ini.
“Begitu juga Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian di lnstitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau lnstitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan dengan keutamaan diberikan kepada IPTS milik kerajaan Sarawak dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Selain itu, Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman yang menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian di IPTA atau IPTS tempatan dalam bidang bukan STEM. Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak juga menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar kurang berkemampuan di peringkat sekolah menengah di Sarawak,” katanya semasa berucap pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Pahlawan Lingga, semalam.

Dayang Noorazah menambah, kerajaan turut menyediakan bantuan kemasukan pelajar ke IPT, yang membantu membiayai kos peringkat awal pelajar yang memulakan pengajian ke IPTA dan IPTS milik kerajaan Sarawak.
Semua permohonan ini katanya boleh dipohon melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) setiap bahagian atau boleh melayari laman Yayasan Sarawak https://yayasansarawak.org.my/my/biasiswa/.
“Sesiapa (pelajar) yang layak menerima bantuan, sudah pasti akan disalurkan bantuan. Ini membuktikan betapa prihatinnya kerajaan hari ini terhadap kebajikan rakyatnya.
“Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, mereka juga ada bantuan tetapi tidak sebanyak di Malaysia. Maka kita perlu bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang prihatin akan kebajikan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dayang Noorazah turut menyentuh isu kes buli yang semakin meningkat di peringkat sekolah, yang mana terdapat 6,000 kes hingga Oktober 2024 telah dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kes buli bukan hanya tanggungjawab pihak sekolah dan guru, tetapi turut melibatkan ibu bapa. Sebarang aduan kes buli di sekolah boleh dilaporkan kepada pihak sekolah, PPD, Jabatan Kebajikan (JKM), Pusat Khidmat ADUN, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di talian 0388849325 (telefon pejabat) atau 0148009325 (WhatsApp),” tegasnya.
Oleh Adi Safarman