
ASAJAYA: Kawasan Asajaya, Tanjung Embang dan sekitar Tembirat dijangka mengalami perubahan ketara apabila beberapa projek pembangunan berskala mega dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pelaksanaan projek-projek tersebut bakal menjadikan kawasan berkenaan sebagai salah satu lokasi pertumbuhan utama di pesisir Sarawak serta berpotensi dibangunkan sebagai sebuah bandar satelit yang pesat.
“Apabila projek-projek besar seperti pembinaan lapangan terbang baharu, pelabuhan, serta jalan raya dari Kampung Baru merentasi daerah Asajaya hingga ke permulaan Lebuh Raya Pesisir dilaksanakan, kawasan ini bakal mengalami perubahan besar yang akan memberi limpahan manfaat ekonomi kepada masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek jambatan yang dirancang akan bermula dari Tanjung Embang, menghubungkan dua pulau buatan sebelum bersambung ke kawasan Tambirat dan Sambir.
“Bayangkan, kawasan ini akan berkembang menjadi sebuah bandar satelit yang besar dan moden,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Asajaya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Karim turut memaklumkan bahawa pemindahan penjaja jalanan ke pusat penjaja di Tambirat memberi impak positif terhadap ekonomi tempatan dan menaikkan imej kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan baharu.
“Saya difahamkan mereka telah dipindahkan ke gerai-gerai di bawah Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Tembirat. Keadaan di sana semakin baik, dan kini menjadi tumpuan pelancong. Malah, bas pelancong juga sudah mula singgah di lokasi tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa ramai penjaja kini memilih untuk berniaga di pasar atau di gerai MPKS di Tembirat, yang secara tidak langsung meningkatkan pendapatan mereka.
Katanya lagi, cadangan untuk memperbesarkan pusat penjaja itu akan dipertimbangkan secara berperingkat mengikut keperluan dan permintaan.
Oleh Masrin Affirah