
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke Sarawak susulan penahanan tiga lelaki dan merampas 104 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu bernilai RM3.33 juta dalam operasi di Lembah Klang, 5 April lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua suspek berusia lingkungan 33 hingga 44 tahun itu ditahan ketika serbuan ke atas dua bilik di sebuah hotel di kawasan Kuchai Lama di sini, pada 11.40 malam.
Beliau berkata ketika serbuan ke atas bilik pertama di hotel berkenaan, polis menahan dua lelaki dan menjumpai dua bagasi yang mengandungi 70 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 72.8 kg.
“Pada masa sama, pasukan polis menyerbu sebuah lagi bilik di hotel sama dan menangkap suspek ketiga serta menjumpai sebuah bagasi mengandungi 30 bungkusan plastik berisi dadah seberat 31.2 kg
“Keseluruhan rampasan syabu itu ialah 104 kg, yang boleh menampung permintaan 520,000 penagih dadah dalam satu masa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rusdi berkata, ketiga-tiga suspek ditawarkan bayaran RM8,000 hingga RM10,000 bagi menjalankan aktiviti ‘keldai dadah’, membawa bahan terlarang itu ke Sarawak.
Beliau berkata sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak Januari lepas dan ini kali pertama suspek diberikan tugas membawa dadah ke negeri itu melalui perkhidmatan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Lapangan Terbang Miri, Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek tersebut positif dadah jenis morfin selain mempunyai rekod jenayah lampau dadah, ugutan jenayah dan perbuatan khianat.
Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari bermula 6 April lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – Bernama