
KUCHING: Usaha memperkukuh budaya kerja cemerlang dalam kalangan penjawat awam Sarawak terus diperkasa menerusi penganjuran Sesi Taklimat Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025.
Program anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak selama tiga hari pada 8, 10 dan 11 April itu menghimpunkan lebih 590 penjawat awam daripada pelbagai agensi kerajaan negeri.
Program itu dianjurkan dengan matlamat mempertingkat kefahaman terhadap kriteria penilaian AKPANS serta menyemai budaya kerja berprestasi tinggi.
Pengarah STIU, Superi Awang Said berkata AKPANS bukan sekadar pengiktirafan kepada agensi terbaik, malah merupakan wahana strategik bagi memacu transformasi menyeluruh dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Budaya kecemerlangan tidak berlaku secara spontan. Ia menuntut kepimpinan berprinsip, komitmen berterusan dan penglibatan aktif seluruh warga kerja,” katanya ketika berucap semasa majlis perasmian program itu.
Sesi taklimat memberi fokus kepada sembilan kriteria utama penilaian AKPANS 2025, iaitu Kepimpinan Organisasi, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan ICT, Pembudayaan Organisasi, Pengurusan Pelanggan, Penglibatan Komuniti, Pencapaian Organisasi serta Kelangsungan dan Keberdayaan Masa Depan.
Menurut Superi, penekanan kepada penambahbaikan berterusan adalah kunci kepada perkhidmatan yang lebih responsif dan berfokuskan impak, sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Pelaksanaan AKPANS 2025 juga dilihat selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam menjadikan tadbir urus sektor awam Sarawak lebih progresif dan berimpak tinggi.