

MIRI: Masalah anjing liar di sekitar Taman Tunku di sini bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama berlaku dan berlarutan hingga kini.
Kelibat haiwan berkenaan menyelongkar tong sampah bagi mencari sisa makanan menimbulkan isu kebersihan serta keselamatan penduduk.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati lokasi tumpuan anjing liar ini di kaki lima kedai, persekitaran premis makanan, pasar tamu dan di bawah kenderaan untuk mencari makanan dan rehat.
Haiwan itu turut menyelongkar tempat pembuangan sampah untuk mencari sisa makanan menyebabkan kawasan sekitar kotor.
Anjing liar yang dipercayai tidak bertuan ini juga sering bergerak berkumpulan pada waktu malam dan tidur di tengah jalan raya.
Walaupun belum berlaku sebarang kes serangan melibatkan anjing liar ini, tindakan mengatasi masalah kehadiran haiwan berkenaan perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa tempatan kerana ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan kesihatan.
Ini sekali gus mengelakkan risiko penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila yang boleh dibawa oleh anjing liar.
Oleh Liong Chai Ling