
LUNDU: Seramai 741 penduduk dari Kampung Kendaie dan Kampung Selampit hari ini menerima Surat Pengesahan Penyertaan Projek Pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, inisiatif ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha pemilikan tanah sah dan pembangunan ekonomi luar bandar.
Surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) itu menjadi dokumen rujukan penting kepada pemilik tanah serta waris mereka sebelum proses rasmi pemberian hak milik oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.
“Saya amat berharap penduduk menggunakan peluang ini untuk merancang masa depan keluarga mereka.
“Pemilikan tanah yang sah adalah asas kepada kestabilan ekonomi luar bandar,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Penyerahan Surat Pengesahan Penyertaan Projek Pembangunan Tanah NCR Kawasan Raya, Lundu di Dewan Serbaguna Kampung Selampit di sini, hari ini.
Menurut Billy, peserta boleh memohon hak milik lebih awal daripada tempoh kelaziman, seperti yang dilakukan oleh beberapa agensi lain termasuk SACRA, bagi mempercepat penerimaan manfaat kepada pemilik tanah.
Pada majlis sama, Billy turut mengumumkan pelaksanaan projek menaik taraf jalan pertanian sepanjang 540 meter, yang akan memberi manfaat kepada penduduk di 58 kampung sekitar Lundu.
Projek tersebut dibiayai menerusi dana Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
“Walaupun saya tak mampu beri semua orang bantuan input pertanian seperti nenas atau lada kerana bilangan yang ramai, saya pastikan semua kampung dapat kemudahan jalan pertanian.
“Dari situ, mereka boleh usahakan tanah masing-masing,” ujarnya.
Jelasnya, projek jalan ini dijangka memudahkan akses ke kawasan kebun, melancarkan pengangkutan hasil tani dan menyokong pertumbuhan pertanian secara lestari dalam kalangan penduduk luar bandar.
Oleh Rynna Sha’erra