
SIBU: Industri muzik Iban kehilangan seorang lagi bakat besar apabila komposer dan penyusun muzik terkenal, Yazid Ismail, 65, menghembus nafas terakhir di kediamannya di No.16, Lorong Bukit Lima Timur 2A di sini, pada 9.30 malam tadi.
Jenazah allahyarham diuruskan oleh Masjid Al-Muhajirin, Kampung Sentosa dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang, pagi tadi.
Allahyarham berasal dari Perlis sebelum berkecimpung aktif dalam industri muzik Iban di Sarawak merupakan anggota band Blackfire yang tidak asing lagi di negara ini pada 80-an.
Selepas itu dalam 90-an allahyarham ‘berhijrah’ ke Sibu, Sarawak dan bergiat aktif dengan sebuah syarikat pengeluar lagu Iban di Sibu iaitu Tiew Brothers Company (TBC) dalam pembikinan lagu-lagu Iban.
Antara nama besar yang pernah dijulang menerusi karyanya ialah mendiang Michael Jemat, Andrewson Ngalai, Johnny Aman, Johnnical Sanggam, Casmir, Rozlina, Embat Lala, Rosiana Urai, dan ramai lagi.
Allahyarham bertemu jodohnya dengan seorang penyanyi popular Orang Ulu, Rosiana Urai dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan.
Namun setelah sekian lama berkongsi hidup, pasangan itu kemudian bercerai dan membawa haluan masing-masing.
“Buat sesiapa yang mengenali abang saya Yazid Ismail, beliau telah meninggal dunia di kediamannya di Sibu. Khabar dari anaknya, arwah jatuh pengsan selepas makan malam dan disahkan meninggal dunia.
“Baru sahaja bermesej dengan saya tengah hari tadi (Rabu) dan rakan-rakannya dari Band Blackfire yang kini sedang mengadakan jelajah di United Kingdom.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah semoga roh satu-satunya abang saya ditempatkan bersama orang yang soleh,” catat adiknya, Datuk Mokhzani Ismail dalam laman sosialnya.
Sementara itu, dalam laman sosial ramai rakan-rakan artis mengucapkan takziah atas pemergian arwah yang masing-masingnya menganggap pemergiannya meninggalkan satu jasa besar buat industri muzik Iban.
Oleh Akun Giman