
TUGAS seorang muslim supaya tetap istiqamah dalam ketakwaan dan keimanan dengan menjauhi diri dari dosa, berakhlak mulia serta berjuang membela agama dan kebenaran. Foto BERNAMA
AGAMA Islam sentiasa mengingatkan kita mengenai pentingnya istiqamah dalam setiap amal perbuatan. Yakni kunci kejayaan seorang hamba ialah istiqamah dan berusaha sedaya upaya memperbaiki segala kekurangan yang ada.
Justru itu, menjadi tugas seorang muslim supaya tetap istiqamah dalam ketakwaan dan keimanan dengan menjauhi diri dari dosa, berakhlak mulia serta berjuang membela agama dan kebenaran.
Lantaran itu, untuk menjadi seseorang yang istiqamah memang tidak mudah. Sepertimana Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Yang membuat saya beruban adalah surah Hud dan saudara-saudaranya.” (Riwayat Thabrani)
Menurut al-Qurthubi, dalam surah Hud ayat 112 terdapat perintah untuk istiqamah. Demikian ini, Ibnu Abbas RA juga ada mengatakan ayat ini adalah ayat yang paling berat diwahyukan kepada Rasulullah SAW.
Ini kerana surah ini antara surah yang menyebabkan Rasulullah SAW beruban. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud ayat 112)
Ini merupakan suruhan daripada Allah SWT agar hamba-hamba-Nya tetap teguh pada pendirian sepertimana yang telah dikatakan-Nya dan tidak melencong atau menyeleweng ke kiri kanan.
Malah, Nabi Muhammad SAW diingatkan untuk meneruskan ajaran tauhid ini. Jangan sesekali goyah meskipun terdapat banyak halangan dan rintangan.
Daripda Sufyan bin Abdullah ats-Tsaqfi RA beliau berkata, Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku dalam Islam suatu perkataan yang mana aku tidak menanyakannya kepada seorang pun tentangnya setelahmu dan dalam kitab riwayat hadith Abu Usamah selainmu,’ Maka Baginda menjawab: ‘Katakanlah, ‘Aku beriman kepada Allah’ lalu beristiqamahlah.” (Sahih Muslim)
TANPA IMAN LANGKAH MENJADI GOYAH
Iman merupakan dasar keislaman seseorang Muslim. Ini kerana tanpa iman semua amal yang dilakukan akan jadi sia-sia. Malahan, tidak mungkin istiqamah tanpa adanya nilai-nilai keimanan.
Allah SWT ada menyebut perihal istiqamah di dalam surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah,” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
Jelas menunjukkan daripada ayat ini Allah SWT memberitahu mengenai balasan yang hebat bagi orang yang istiqamah di dalam iman.
Maka dengan itu, mukmin yang berjaya istiqamah dalam melakukan amal ibadah akan dapat merasai kemanisan iman.
Betepatan dengan hadis daripada Anas bin Malik RA Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseoran, ia akan mendapatkan manisnya iman. Dijadikan Allah SWT dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah SWT. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka.” (Riwayat Bukhari)
Sebagai penyimpul kata, sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar diperteguhkan hati serta dikurniakan sifat beristiqamah dalam mengerjakan amal ibadah dengan mengamalkan doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Mu”az bin Jabal: “Aku wasiatkan kepadamu wahai Mu’az, janganlah engkau tinggalkan di setiap akhir solat untuk mengucapkan: ‘Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah sebaiknya kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud)

Saad bin Abi Waqqas mendampingi Rasulullah SAW
SAAD bin Abi Waqqas sentiasa mendampingi Rasulullah SAW ketika zaman dakwah di Makkah. Beliau tidak sanggup meninggalkan Rasulullah SAW walaupun seketika.
Ketika kaum Muslimin disarankan untuk berhijrah ke Habsyah oleh Rasulullah SAW, Saad bin Abi Waqqas tidak ikut serta berhijrah ke Habsyah. Beliau tetap berada di samping Rasulullah SAW.
Beliau juga sering menghadiri majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dan beliau juga membantu Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah kepada orang-orang kafir.
Pengikut-pengikut Rasulullah SAW ketika zaman permulaan dakwah kebanyakan adalah terdiri daripada mereka yang lemah seperti orang miskin, hamba dan pemuda-pemuda yang dianggap sebagai budak mentah.
Saad bin Abi Waqqas pada ketika itu adalah seorang pemuda yang dianggap sebagai budak yang mentah oleh orang-orang Quraisy.
Maka, pembesar-pembesar Quraisy ini berasakan bahawa mereka akan terhina apabila menerima dakwah Rasulullah SAW Muslim, An Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban telah meriwayatkan bahawa Saad bin Abi Waqqas telah berkata, “Suatu ketika, kami seramai enam orang berada bersama Rasulullah.”
Kemudian datang orang-orang musyrik lalu mereka berkata, “Usirlah mereka (enam orang yang bersama dengan Rasulullah tersebut) kerana kami malu menjadi pengikutmu disebabkan setaraf dengan mereka.”
Saad bin Abi Waqqas berkata, “Pada ketika itu yang bersama dengan Rasulullah ialah aku, Abdullah Ibnu Masud, Bilal bin Rabah, seorang lelaki dari Bani Hudzail dan dua orang lagi.
Rasulullah SAW berasa tidak senang dengan permintaan orang-orang kafir Quraisy itu, lalu Allah menurunkan firman-Nya: “Dan janganlah engkau mengusir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang. Sedang mereka mengharapkan keredaan-Nya semata-mata.
“Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amialmu. Maka (sekiranya) engkau mengusir mereka, nescaya engkau akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang zalim.” (al An’am: 52)
Saad bin Abi Waqqas telan mendapat pendidikan secara langsung daripada Rasulullah SAW. Banyak pelajaran baharu yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadanya.
Rasulullah SAW juga telah membimbing Saad bin Abi Waqqas agar beliau tidak melakukan kesalahan terutamanya yang berkaitan dengan akidah Islam.
Pendidikan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Saad bin Abi Waqqas ini sekali gus memberi manfaat kepada umat Islam.
Oleh Hanzalah Azman