
KOTA SAMARAHAN: Suasana meriah dan penuh warna-warni jelas terasa dalam Majlis Aidilfitri Perdana 2025 UiTM Cawangan Sarawak apabila pelajar pelbagai kaum dan agama berkumpul meraikan sambutan yang sarat dengan nilai perpaduan serta semangat muhibah.
Allyca Trifiena Majilin, 23, pelajar berbangsa Rungus dari Sabah, mengungkapkan rasa gembira sebab dapat berkumpul dan berjumpa kawan pelbagai kaum.

“Saya bukan Muslim dan saya faham sambutan Aidilfitri bermakna di mana semua keluarga bersatu, mengeratkan hubungan dan meluangkan masa yang bermakna bersama.
“Selain itu, saya suka tengok busana cantik seperti baju kurung Melayu dan pakaian tradisional lain yang dipakai semua orang dalam majlis ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, semalam.
Mohamad Mutashim Mohamad Mustapa, 20, menyatakan rasa syukur dan suka melihat suasana sangat meriah serta penerimaan budaya.

“Saya sebagai orang yang sambut Aidilfitri rasa gembira dengan semua orang menerima budaya kita.
“Saya beritahu kawan yang berbangsa lain, sambutan Aidilfitri ini maknanya kita umat Islam dah berjaya puasa sebulan, jadi ini hari kemenangan untuk kita raikan bersama,” jelasnya.
Macryaen Ghaney Jawie, 20, pelajar Iban dari Miri, menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri merupakan masa untuk mengeratkan hubungan dengan rakan lain, berbagai agama dan bangsa.
“Perayaan seperti ini adalah satu cara yang baik untuk kita menjalin hubungan dengan mereka.

“Saya paling teruja nak makan rendang kerana rendang merupakan masakan Melayu yang sangat tradisional dan asli serta mempunyai rasa yang autentik,” katanya teruja.
Luiz Bryan Marvin, 20, berbangsa Iban turut berkongsi rasa bersyukur dan teruja kerana dapat jumpa kawan-kawan dan berkongsi pengetahuan berkaitan budaya yang berlainan.
“Saya rasa diterima menyambut perayaan yang saya tak pernah sambut serta paling menarik saya tengok sepanjang sambutan Aidilfitri ini ialah kemanisan senyuman semua orang di sini.

“Yang saya suka di sini, semua orang berpakaian sopan dan bagi saya ini sangat menyenangkan mata memandang,” luahnya.
Anees Shafana Kasrin, 20, dari Selangor pula menyatakan rasa seronok kerana kelainan adat dan budaya masyarakat Melayu Sarawak menyambut Aidilfitri.
“Saya dari Semenanjung dan datang ke Sarawak ini rasa banyak kelainan dari segi budaya kerana di sini lagi banyak bangsa yang ada.

“Juadah lebih pelbagai macam kek lapis yang membawa rasa autentik dan kelainan cara masyarakat di Semenanjung dan di Sarawak dalam meraikan Aidilfitri ini,” ujarnya.
Jane Jackson, 20, berbangsa Iban turut menyifatkan sambutan ini memberi peluang kepadanya untuk belajar budaya lain.
“Saya nantikan lemang sebab saya minat dan yang paling menarik ialah reruai di sini dengan hiasan tradisional budaya Aidilfitri di mana mereka betul-betul berusaha untuk hias reruai dengan cantik,” jelasnya gembira.
Majlis Aidilfitri Perdana kali ini menjadi simbol semangat perpaduan, membuktikan perayaan bukan hanya tentang agama tetapi juga tentang menghargai kepelbagaian dalam komuniti kampus.
Oleh Masrin Affirah