
KUCHING: Bermula 2026, kerajaan Sarawak akan melaksanakan dasar pendidikan tinggi percuma untuk semua rakyat negeri ini di institusi milik kerajaan negeri seperti universiti dan kolej.
Menurut Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan, Dato Sim Kiang Chiok, inisiatif ini akan merangkumi bidang kritikal seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan serta Kewangan, bertujuan memastikan akses pendidikan lebih adil tanpa mengira latar belakang atau etnik.
“Sebagai tambahan, kerajaan turut memperkenalkan elaun khas untuk keluarga berpendapatan rendah agar tiada pelajar tercicir dalam mengejar cita-cita akademik mereka.
“Langkah ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan generasi muda Sarawak.
“Menerusi pendidikan percuma ini, lebih ramai anak Sarawak akan berpeluang melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibebani kos kewangan yang tinggi. Ini adalah satu pelaburan jangka panjang untuk memperkukuh pembangunan modal insan dan seterusnya memberi impak besar kepada ekonomi negeri,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa dasar ini akan membantu melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Ini adalah antara bukti komitmen berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membela nasib rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal daripada arus kemajuan,” ujar beliau.
Katanya, langkah ini juga dilihat selari dengan visi kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030, melalui pembangunan rakyat yang berilmu dan berdaya saing.