
Pendahuluan
PEMBANGUNAN sosial merupakan satu aspek penting dalam usaha sesebuah negara atau wilayah mencapai kemajuan yang menyeluruh.
Ia bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi atau infrastruktur fizikal, tetapi merangkumi transformasi menyeluruh dalam kehidupan sosial, budaya, pendidikan, kesihatan, dan hubungan antara individu dalam masyarakat.
Dalam konteks teori pembangunan, pembangunan sosial didefinisikan sebagai proses dinamik melibatkan perubahan struktur sosial yang positif untuk meningkatkan taraf hidup, kesejahteraan, dan maruah manusia.
Proses ini berlaku melalui peningkatan kesedaran, penyusunan semula institusi sosial, dan pemerkasaan komuniti.
Sarawak sebagai sebuah negeri negeri terbesar di Malaysia dari segi geografi, berdepan cabaran unik dalam pembangunan sosial.
Maka, adalah penting untuk meneliti mekanisme konsep pembangunan sosial diaplikasikan dan diadaptasi dalam konteks Sarawak.
Definisi dan konsep pembangunan sosial
Menurut Michael Todaro, pembangunan bukan sekadar fenomena ekonomi, tetapi satu proses pelbagai dimensi yang merangkumi perubahan dalam sistem sosial, politik dan budaya untuk meningkatkan taraf hidup dan membolehkan manusia mencapai potensi sepenuhnya.
Konsep ini merangkumi beberapa komponen utama, antaranya pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, hak asasi, keadilan sosial, dan penyertaan masyarakat dalam proses membuat keputusan.
Teori pembangunan sosial menekankan bahawa pembangunan bukan hanya hasil dasar dan program kerajaan, tetapi proses perubahan sosial yang berlaku akibat peningkatan kesedaran dan keupayaan masyarakat untuk menyusun sumber dan peluang.
Pembangunan sosial juga mencerminkan perubahan dari tahap fizikal (asas kelangsungan hidup), ke tahap vital, iaitu merujuk kepada tahap atau dimensi tenaga sosial, aspirasi, keinginan untuk maju, dan interaksi manusia yang dinamik termasuk keluar daripada situasi statik kepada aktif dan dinamik melalui latihan keusahawanan, memanfatkan ekonomi digital , menghadiri kursus kemahiran, dan mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan.
Akhirnya akan membawa ke tahap mental (inovasi, intelektual dan nilai). Aspek ini menekankan bahawa pembangunan yang berjaya memerlukan transformasi dalam cara masyarakat berfikir dan berorganisasi.
Dimensi pembangunan sosial
Pendidikan merupakan asas pembangunan sosial kerana ia memperkasa individu dengan ilmu, kemahiran dan kesedaran untuk berperanan dalam masyarakat secara produktif.
Di Sarawak, cabaran geografi yang luas dan kawasan pedalaman yang terpencil menjadikan akses kepada pendidikan berkualiti sebagai isu utama.
Walaupun Kerajaan Persekutuan dan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pembinaan sekolah di kawasan luar bandar, pemberian bantuan biasiswa, serta program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sarawak namun masih terdapat kekangan seperti kekurangan guru, kemudahan asas yang tidak mencukupi dan capaian internet lemah.
Misalnya, di Daerah Baram dan Belaga, pelajar terpaksa menempuh perjalanan jauh, bahkan menggunakan perahu untuk ke sekolah.
Malah tidak jauh dari bandar Kuching, di Kampong Melayu Seberang Buso, perahu masih digunakan untuk pergi ke sekolah (SK) Buso dengan kadar 50 sen seorang.
Masalah ini menjejaskan kesaksamaan dalam pendidikan, justeru, pembangunan sosial di Sarawak perlu menekankan pembinaan infrastruktur pendidikan yang menyeluruh dan pelaburan dalam teknologi pembelajaran jarak jauh.

Kesihatan
Kesihatan merupakan prasyarat asas bagi kehidupan yang produktif dan sejahtera.
Dalam konteks Sarawak, usaha memperluas akses kesihatan telah dilaksanakan melalui pembinaan Klinik Kesihatan 1Malaysia, program klinik bergerak dan perkhidmatan teleperubatan ke kawasan pedalaman.
Namun, kekurangan fasiliti, kekangan logistik dan jurang tenaga kerja kesihatan masih menjadi isu kritikal.
Misalnya di Sarawak masih terdapat lima daerah tidak mempunyai kemudahan hospital meskipun penduduk di kawasan tersebut melebihi 30,000 orang dan terdapat pecahan signifikan terhadap bilangan sekolah yang tiada peruntukan pembangunan.
Perkara ini dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu melawat Sarawak pada tahun lepas.
Selain itu, diberitahu juga akan mengenai kekurangan nisbah perkhidmatan kepakaran perubatan kepada penduduk berbanding purata nasional, kekurangan institusi perubatan khas bagi rawatan kanser, wanita dan kanak-kanak, rehabilitasi, perubatan respiratori, pusat darah dan kepakaran pergigian di Sarawak.
Selain itu, daerah seperti Kapit dan Song mengalami kekurangan pakar perubatan dan peralatan moden, menyebabkan penduduk terpaksa berulang alik ke bandar besar seperti Sibu atau Kuching untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Justeru, pembangunan sosial perlu memberi penekanan kepada kesihatan sebagai pelaburan, bukan beban.
Latihan tenaga kesihatan tempatan, insentif penempatan luar bandar, dan penambahbaikan fasiliti asas perlu dipergiat.

Peluang pekerjaan dan ekonomi inklusif
Peluang pekerjaan merupakan dimensi penting dalam pembangunan sosial kerana ia berkait langsung dengan keupayaan masyarakat keluar dari kitaran kemiskinan.
Di Sarawak, kadar pengangguran belia, pekerjaan informal dan kebergantungan kepada sektor tradisional seperti pertanian dan pembalakan masih tinggi.
Justeru, pendekatan pembangunan sosial yang memfokuskan kepada penciptaan pekerjaan berasaskan teknologi, pelaburan luar bandar, dan pemerkasaan usahawan tempatan adalah perlu.
Contohnya, program Sarawak Digital Economy Strategy 2018–2022 memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital, termasuk latihan kemahiran digital dan penyediaan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di kawasan luar bandar seperti Bario dan Ba’kelalan.
Aspek ini menunjukkan usaha negeri ke arah membina masyarakat yang celik teknologi dan dapat bersaing dalam ekonomi masa depan.
Peranan struktur sosial dan dasar kerajaan
Pembangunan sosial tidak boleh dipisahkan daripada dasar dan struktur institusi.
Dasar seperti Dasar Sosial Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) menekankan pengurangan ketidaksamaan dan peningkatan kesejahteraan melalui perlindungan sosial dan pengukuhan perpaduan.
Di Sarawak, dasar seperti Strategi Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) menekankan pembangunan inklusif, keterangkuman wilayah dan keadilan sosial.
Program seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan eKasih telah menyasarkan bantuan tunai dan insentif khas kepada golongan rentan, khususnya semasa pandemik Covid-19.
Selain itu, projek perumahan seperti Rumah Spektra Permata juga dilaksanakan bagi memenuhi keperluan perumahan golongan B40 di kawasan luar bandar.
Perkara ini membuktikan bahawa dasar sosial kerajaan negeri memainkan peranan besar dalam mendukung matlamat pembangunan sosial.
Cabaran pembangunan sosial di Sarawak
Walaupun banyak kemajuan dicapai, pembangunan sosial di Sarawak masih berdepan pelbagai cabaran.
Pertama, jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar masih ketara.
Kawasan seperti Kuching, Miri dan Bintulu menikmati kemudahan lebih baik berbanding daerah pedalaman seperti Lubok Antu, Pakan dan Tatau.
Kedua, keterbatasan infrastruktur asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih membantutkan penyampaian perkhidmatan sosial.
Ketiga, masyarakat orang asal seperti Orang Ulu, Iban dan Penan di luar bandar masih kurang mendapat akses kepada pembangunan arus perdana.
Isu pemilikan tanah adat, pendidikan, kesihatan dan penyertaan politik sering kali terpinggir.
Oleh itu, pembangunan sosial perlu dipacu dengan pendekatan lebih inklusif dan kontekstual, yang menghormati keperluan dan budaya setempat.
Hala tuju dan cadangan strategik
Bagi memastikan pembangunan sosial di Sarawak berjalan secara menyeluruh dan lestari, beberapa strategi perlu dipertimbangkan.
Ini termasuklah pendekatan berasaskan komuniti yang memberi kuasa kepada komuniti tempatan dalam proses merancang dan melaksanakan pembangunan.
Penglibatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat perlu diperkukuh.
Amalan terhadap inovasi teknologi sosial yang memanfaatkan teknologi untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan sosial seperti e-Kesihatan, e-Pendidikan, dan e-Kebajikan perlu dipertingkatkan.
Selain itu, terdapat keperluan pemerkasaan sumber manusia tempatan, seperti pelaburan dalam pendidikan teknikal, keusahawanan sosial dan kepimpinan belia untuk mencipta generasi yang mampu memacu pembangunan sendiri.
Dasar sosial berasaskan bukti iaitu keputusan dasar yang berdasarkan data dan kajian lapangan, bukan sekadar pendekatan umum perlulah dijadikan amalan terbaik dalam tadbir urus.
Dalam konteks ini, Sarawak memerlukan pangkalan data sosial yang lebih komprehensif dan perlu kerjasama di antara kerajaan negeri dengan universiti awam dan swasta dan Kerajaan Pusat dengan lebih baik.
Rumusan
Sesungguhnya, pembangunan sosial bukan sekadar pembinaan sekolah, klinik atau pemberian bantuan tunai.
Ia adalah transformasi menyeluruh dalam struktur dan nilai masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera, adil dan bermaruah.
Dalam konteks Sarawak, pembangunan sosial harus dilihat melalui lensa yang realistik dan kontekstual—mengambil kira cabaran geografi, kepelbagaian budaya, dan tahap sosioekonomi masyarakat tempatan.
Usaha berterusan, inklusif dan berdasarkan ilmu pengetahuan adalah kunci untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dari sudut sosial, bukan hanya dari segi fizikal dan ekonomi.
Pembangunan sosial yang murni ialah apabila tiada rakyat yang tertinggal di belakang, dan setiap individu diberi peluang untuk hidup bermakna dan menyumbang kepada masa depan bersama.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).