
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki
KUCHING: Kecekapan dan komitmen tinggi jentera pentadbiran negeri menjadi pemangkin utama kepada kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang digerakkan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) perlu sentiasa berusaha menambah baik prestasi dengan berpegang kepada pendekatan 3R, iaitu ‘Revisit’, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’ dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Di bawah pimpinan Premier Sarawak, pelbagai idea baharu dan progresif telah diperkenalkan termasuk Pelan Strategik Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, ekonomi digital, ekonomi hijau, ekonomi biru, pembangunan hidrogen dan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat.
“Untuk menjayakan inisiatif ini, seluruh jentera pentadbiran perlu memiliki tahap kecekapan, kecekalan dan keupayaan yang tinggi agar pelaksanaannya benar-benar memberi impak kepada rakyat,” katanya menerusi teks Amanat Bulan April 2025, semalam.
Beliau, berkata dalam menghadapi arus kemajuan teknologi, penjawat awam tidak boleh lagi terikat kepada cara kerja lama yang lambat dan membebankan.
“Kita perlu hentikan kelewatan, kerenah birokrasi dan budaya tunggu arahan. Saya menyarankan agar ketua jabatan menilai semula dasar serta prosedur yang sudah lapuk dan tidak relevan.
“Langkah ini bukan sahaja membolehkan kita meningkatkan kapasiti secara kreatif dan inovatif, malah mempermudah serta mempercepat proses kerja agar lebih berkesan dan berimpak tinggi kepada rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, semua kementerian dan jabatan juga telah diarahkan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 10 inisiatif berasaskan pendekatan 3R tahun ini, yang akan didokumentasikan melalui Unit Transformasi dan Inovasi.
Dalam pada itu, beliau menyeru Ketua-Ketua Jabatan agar lebih responsif dan proaktif dengan turun padang secara berkala untuk memahami isu serta keperluan rakyat secara langsung bagi memastikan tindakan yang diambil lebih tepat dan berkesan.
“Ketua-Ketua Jabatan turut bertanggungjawab memastikan pelaksanaan kerja oleh agensi pelaksana dan konsesi dilakukan dengan penuh integriti dan akauntabiliti,” tegasnya.
Tambah beliau, semangat kerjasama berpasukan adalah elemen penting dalam memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar terutama ketika berurusan dengan pihak berkepentingan dan rakyat.
“Perkhidmatan Awam Sarawak perlu terus memperkukuh semangat ‘One SCS’ merangkumi semua jabatan dan agensi, termasuk Perkhidmatan Awam Persekutuan, demi menyampaikan perkhidmatan berteraskan kepentingan rakyat,” jelasnya.