
PETRA JAYA: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuhkan sektor pertaniannya di peringkat antarabangsa dengan membina rangkaian eksport yang lebih mantap dan berstrategi.
Antara langkah penting yang diambil termasuk pengoperasian Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di beberapa lokasi utama di negeri ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha ini menerima sokongan penuh daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM10 juta.
Dana ini digunakan khusus bagi menampung kos penghantaran udara produk pertanian Sarawak ke luar negara.
“Peruntukan tersebut bukan untuk membina bangunan baharu, tetapi untuk menampung tambang kapal terbang yang membawa hasil pertanian Sarawak ke pasaran eksport seperti Singapura,” katanya semasa menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Zedtop Resources Sdn. Bhd. bagi projek CPPC di Tarat yang berlangsung di Bangunan Maitulmakmur I, Kuching, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga sedang meneliti potensi untuk menembusi pasaran baharu seperti Hong Kong, Timur Tengah, Jepun dan China bagi memperluaskan capaian produk tempatan.
Sebagai Pengerusi PPNS, Dr Abdul Rahman turut menyatakan bahawa penubuhan usahasama ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkemaskan pengurusan proses pemprosesan dan eksport produk pertanian melalui fasiliti CPPC yang sedia ada.
Menurutnya, langkah ini adalah kesinambungan kepada inisiatif jangka panjang yang telah dirangka oleh Premier Sarawak sejak 2020, termasuk peruntukan sebanyak RM50 juta kepada PPNS bagi menggerakkan pembangunan sektor pertanian negeri dalam tempoh lima tahun.
“Dengan adanya CPPC, kita dapat menghubungkan petani secara terus kepada pasaran luar negara. Selepas penjual dan pembeli dikenal pasti, proses penghantaran boleh dilakukan secara berterusan dan tersusun,” tambahnya.
Setakat ini, lapan projek usahasama telah berjaya dilaksanakan hasil daripada dana tersebut. Antaranya termasuk penternakan ikan tilapia di Batang Ai, penanaman bawang merah di Tarat, projek penternakan udang di Rambungan, pengeluaran nanas SG-1 di Miri, pengoperasian stesen ternakan kerbau di Maragang serta pembinaan kilang baja.
Tiga CPPC kini telah beroperasi sepenuhnya iaitu di Limbang, Lawas dan Tarat. Kerajaan negeri turut merancang untuk memperluaskan lagi jumlah CPPC di seluruh Sarawak bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Dr Abdul Rahman turut berkongsi mengenai penggunaan teknologi baharu yang membolehkan produk pertanian tempatan seperti lembiding, terung asam dan dabai diproses dalam bentuk kering dan boleh dikembalikan ke bentuk asal hanya dengan merendamnya dalam air.
“Kita tidak hanya mahu fokus kepada pasaran Singapura. Sasaran kita lebih besar, iaitu menembusi lebih banyak negara luar,” ujarnya.
Beliau percaya jika strategi ini berjaya, tidak mustahil Premier Sarawak akan mempertimbangkan penambahan peruntukan kepada PPNS serta syarikat-syarikat lain yang berpotensi bagi merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan bersih.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Sirai Daha bersama beberapa pegawai kanan kementerian. – UKAS