
SEPANG: Pelakon dan pelawak Muhammad Nizamuddin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Along Cham yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dadah pada Disember lepas, hari ini melantik peguam baharu bagi mewakilinya.
Peguam Zaleha Al-Hayat memaklumkan demikian ketika kes itu disebut semula di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
“Saya peguam baharu yang dilantik hari ini bagi mewakili anak guam (Muhammad Nizamuddin),” kata Zaleha.
Sebelum ini, Muhammad Nizamuddin, 42, diwakili beberapa peguam antaranya Mohd Fadly Hashim, Kamal Hisham Jaafar, Muhammad Nor Tamrin dan Syed Yusuf Syed Zaid.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Inspektor Sutri Patang berkata terdapat pindaan ke atas pertuduhan ketiga yang dihadapi bekas peserta program realiti di sebuah stesen televisyen tempatan itu.
Sutri berkata pindaan membabitkan jenis dadah daripada tetrahydrocannabinol (THC) kepada ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.
Muhammad Nizamuddin kemudiannya mengekalkan pengakuan tidak bersalah bagi pindaan berkenaan dan Majistret Muhammad Bukhori menetapkan 24 April ini bagi serahan dokumen.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Nizamuddin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada 3.10 petang, 14 Disember lepas dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, pelawak itu didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama.
Bagi pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ ke dalam badan pada 10.00 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, pada tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun. – Bernama