HAH ALAM: Selangor mengumumkan pelan pemulihan ekonominya hari ini dengan menumpukan tiga aspek utama bagi menangani impak penularan wabak Covid-19 di negeri ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiga aspek utama itu adalah jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.
“Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini adalah berjumlah RM55.85 bilion.
“Pelaksanaan pelan ini sebagai satu daya tahan atau economic resilience untuk negeri Selangor membangunkan semula ekonomi setelah mengalami kejutan mendadak susulan penularan pandemik Covid-19 yang tidak pernah dijangkakan oleh mana-mana pakar ekonomi dunia sekalipun,” katanya ketika membentangkan pelan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini.
Amirudin berkata, menerusi aspek jaminan bekalan makanan, kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan nilai kitaran pertanian selain mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan.
Bagi aspek kemampanan ekonomi pula katanya, tumpuan adalah untuk merancakkan pembangunan hartanah, memastikan pengurusan infrastuktur dan perkhidmatan air yang efisien, mengekalkan keseimbangan dalam aliran tunai kerajaan negeri serta meningkatkan sistem penyampaian pentadbiran itu.
“Antara cadangan bagi inisiatif tersebut adalah merancakkan semula sektor pembinaan khususnya perumahan dengan memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik Pasca Covid-19.
“Menerusi insentif ini, kita akan menambah sebanyak 30,000 unit Rumah Selangorku dalam tempoh tiga tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata bagi aspek ketiga iaitu pembangunan keupayaan, kerajaan negeri akan memberi penekanan untuk memacu pertumbuhan industri aeroangkasa sebagai sektor yang bernilai tinggi.
Beliau berkata menerusi langkah itu, tenaga kerja dalam kalangan rakyat Selangor akan dimanfaatkan bagi mengukuhkan rantaian sumber manusia untuk bidang aeroangkasa.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi membantu mereka yang terkesan akibat pemberhentian sektor ekonomi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Justeru, kerajaan negeri akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 pencari kerja dalam tempoh tiga tahun sebagai antara strategi pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19,” katanya.
Jelas Amirudin, menerusi pelan pemulihan itu, pihaknya yakin taraf hidup rakyat mampu ditingkatkan selain pengukuhan ekonomi dapat dipertahankan bagi menghadapi cabaran masa hadapan. – Bernama