
KAPIT: Kerja-kerja baik pulih kawasan cerun berbahaya dan tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat di sini perlu segera dilaksanakan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun jalan tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun adalah amat penting untuk beliau membantu mendapatkan peruntukan kewangan bagi kerja-kerja baik pulih.
Pegawai Daerah Song, Harry Bruce Edwin ketika membentangkan Laporan Pasca Banjir memberitahu, anggaran peruntukan kerja-kerja baik pulih cerun berbahaya dan tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat masing-masing berjumlah RM2 juta dan RM5 juta.
“Saya tahu masa sudah suntuk (untuk siapkan kerja baik pulih jalan) kerana Gawai tidak lama lagi.
“Namun saya mahu kerja-kerja baik pulih segera dilaksanakan, sekurang-kurangnya keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan itu lebih terjamin menjelang Gawai kelak,” ujarnya.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata demikian pada mesyuarat Laporan Monsun Timur Laut di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Song di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Alexander turut mengingatkan pihak bertanggungjawab, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) agar memasang papan tanda di kawasan tanah runtuh Jalan Sipan/Temalat bagi memastikan keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut.
Semasa banjir besar melanda Song dan Bahagian Kapit pada 21 hingga 23 Mac lalu, seramai 104 mangsa banjir daripada 14 kawasan di Song terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagaimanapun, dianggarkan lebih 1,500 mangsa yang terjejas tetapi tidak mahu dipindahkan kerana tidak mahu meninggalkan harta benda.
Selain itu, enam sekolah yang terkesan akibat banjir termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Beguang, SK Nanga Temalat, SK Lubok Bedil, SK Nanga Janan, SK Nanga Nansang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas.