
MIRI: Sebuah pelabuhan laut dalam di utara Sarawak dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus merancakkan lagi aktiviti import dan eksport di Miri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian pada majlis Hari Raya bersama pemimpin tempatan anjuran Persatuan Melayu Miri di Stadium Tertutup di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelabuhan tersebut akan meningkatkan ekonomi negeri dengan ketara melalui peningkat peningkata perdagangan apabila ia siap nanti.
Beliau menekankan bahawa pelabuhan tersebut akan menjadi satu-satunya pelabuhan seumpama yang terletak jauh di luar pesisir di perairan laut dalam.
“Keputusan strategik itu bertujuan menyediakan perkhidmatan optimum kepada pelabur dan perniagaan yang beroperasi di Miri.
“Pelabuhan itu bukan sahaja bersedia untuk memudahkan aktiviti import dan eksport di Miri tetapi juga akan menarik kapal persiaran yang membawa antara 2,000 dan 3,000 pelancong pada satu-satu masa,” katanya.
Sementara itu, ia juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan di utara Sarawak.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii Siew Sang serta tetamu kenamaan lain.
Oleh Adum Liu