
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Galam melakukan lawatan ke dua rumah panjang di Poyut/Lubok Nibong bagi meninjau perkembangan pembinaan kedua-kedua rumah panjang baharu tersebut.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu melakukan tinjauan ke Rh Enjob Sungai Babi dan Rh Billy Sungai Engkaras Marudi.
Dalam lawatan ke Rh Billy, beliau mengumumkan geran Projek Kecil Luar bandar (MRP) RM3,000 bagi setiap bilik bagi tujuan memudahkan pembangunan rumah panjang tersebut.
Gerawat juga mengumumkan geran tambahan RM100,000 untuk JKKK Rh Billy bagi kerja-kerja penambakan tanah dan membeli bahan dan alat binaan.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan bantuan kepada Rh Enjob Sg Babi berjumlah RM3,000 bagi 27 pintu bilik di rumah panjang tersebut.
Dalam lawatan tersebut, Gerawat berpuas hati melihat perkembangan pembinaan kedua-kedua rumah panjang baharu itu dan berharap ia dapat disiapkan secepat mungkin.
Menurut Gerawat, kedua-kedua rumah panjang tersebut juga menerima pinjaman dari Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Beliau berharap semua pihak terutama penduduk bagi kedua-kedua rumah panjang berkenaan memberi kerjasama baik kepada pemimpin/tuai rumah bagi memudahkan proses pembinaan rumah panjang baharu mereka.
Oleh Jiku Jiguong