

KALIMAT ‘Syawal merapatkan saf kita’ merupakan ungkapan yang indah dan penuh makna, terutama dalam konteks bulan Syawal setelah Ramadan.
Syawal bulan ke-10 dalam kalendar Hijriah, yang menjadi waktu perayaan Aidilfitri dan simbol kemenangan setelah berpuasa di bulan Ramadan. Merapatkan saf (barisan) pula dalam solat melambangkan persatuan dan persaudaraan umat Islam.
Merapatkan saf turut bermaksud memperkuat ikatan, menghilangkan jarak dan menyatukan hati. Manakala penggunaan perkataan kita menunjukkan kebersamaan sebagai Muslim yang saling mendukung dan tolong-menolong antara satu sama lain.
Dalam konteks semasa, amalan bulan Syawal melalui ziarah-menziarahi, maaf memaafi dan rasa keinsafan dalam diri merupakan landasan merapatkan saf di antara kita.
Silaturahim yang terbina hasil daripada amalan-amalan murni tersebut harus dijaga supaya wujud rasa prihatin dan kasih sayang terhadap yang lain. Landasan ini dapat dilakukan kerana kita melalui proses penyucian serta pembersihan di bulan Ramadan.
Ramadan adalah bulan amal dan turut dianggap sebagai sekolah atau akademi kepada kemanusiaan. Kita diuji dengan berpuasa dan beberapa amalan lain.
Dalam erti kata lain, Ramadan adalah bulan mendidik diri dan seterusnya kedatangan Syawal harus diterjemahkan dengan watak yang sudah berubah.
Perubahan hidup kita seterusnya hendaklah bermula dengan rasa rendah diri dan merapatkan perhubungan kita untuk saling maaf-memaafi antara satu sama lain.
Maaf-Memaafi Sesama Kita
Dendam kesumat yang ada harus dikikis. Ego yang tinggi sebaik-baiknya ditundukkan. Mulalah dengan bertindak maaf-memaafi antara kita.
Jika Ramadan dilalui, tarawih dan tadarus dilakukan, perangai atau watak yang berubah sewajarnya diperkukuhkan lagi dalam bulan Syawal dengan rasa bersyukur, warak, beristiqamah dan sentiasa bermuhasabah kepada Allah SWT.
Oleh kerana itu, apabila tiba Syawal kita jangan sesekali mudah lupa dengan pelbagai nikmat dan rahmat yang Allah SWT limpahkan kepada kita.
Mensyukuri nikmat Allah SWT akan melahirkan keinsafan di atas segala kesalahan sesama insan dan kealpaan melupakan kewajipan beragama yang dilakukan dalam hidup ini.
Salah satu nikmat yang wajib difahami dan disyukuri oleh kita ialah amanah menjaga silaturahim melalui ziarah-menziarahi, maaf-memaafi dan rasa keinsafan dalam usaha kita membudayakan rumah terbuka. Inilah lambang persaudaraan kita hidup bermasyarakat yang dapat merapatkan saf kita.
Persaudaraan Diperkukuhkan
Persaudaraan dapat diperkukuhkan lagi semasa syawal dengan adanya budaya berziarah dan saling bermaafan.
Ikatan dan perkongsian perayaan oleh masyarakat dalam berbilang bangsa dan agama ini memperkukuh pendirian setiap kita untuk memahami antara satu sama lain.
Suasana kemesraan akan terbentuk dan akhirnya mewujudkan harmoni dalam kalangan kita.
Dalam erti kata lain, hikmah Ramadan dan Syawal menanam dalam diri kita untuk menjalin persaudaraan. Menjalin persaudaraan merupakan keperluan dalam masyarakat.
Kita tidak boleh hidup dengan menyisih atau mengasingkan diri. Walaupun kita seorang hartawan atau berpangkat, namun kita masih memerlukan kawan atau taulan.
Oleh sebab itu, Islam menganjurkan agar manusia sentiasa berhubung di antara satu dengan yang lain atau merapatkan saf perhubungan kita atau boleh juga disebut dengan menjaga silaturahim.
Menjaga Silaturahim
Persahabatan dan persaudaraan yang terjalin itu sebagai satu usaha menjaga silaturahim. Ia dapat diumpamakan seperti seberkas penyapu lidi atau terbinanya sebuah bangunan dengan pelbagai bahan binaan besi, simen dan batu-bata yang tersusun rapi.
Sehingga apabila seketul bata tidak termasuk dalam susunan ia akan mencacatkan binaan. Ini juga dapat kita lihat sebagai rapinya saf terbentuk apabila kita menjaga silaturahim. Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat : 13)
Menolong Dan Membantu
Semangat Syawal bukan hanya tentang perayaan, tetapi juga memperkuat kebersamaan dan kepedulian dalam kehidupan seharian. Setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan, Syawal menjadi waktu untuk mempererat silaturahim, bermaafan dan saling membantu, baik dalam bentuk tenaga, harta, mahupun kepedulian positif.
Menolong dan membantu sesama manusia merupakan sendi kepada silaturahim. Saling berkomunikasi melalui emel atau aplikasi whatapps serta membuat panggilan telefon bertanyakan khabar kepada sahabat atau rakan-rakan yang jarang bertemu itu juga termasuk dalam erti membantu menceriakan perhubungan sesama insan.
Apatah lagi dihari yang mulia ini dalam suasana kemesraan dan kemaafan amat bertepatan sekali untuk kita berhubung dengan sesiapa saja yang sudah lama kita tidak temui. Sudah pasti ada perkongsian sesama insan menjadi pengajaran kehidupan yang bernilai dalam sambutan lebaran ini.
Iktibar Dan Pengajaran
Perayaan Syawal membawa banyak iktibar (pengajaran) yang boleh diterapkan dalam kehidupan.
Antaranya mengingatkan kita untuk bersyukur atas nikmat kesihatan, rezeki dan hubungan antara keluarga serta sahabat handai. Syawal menjadi waktu untuk mempererat hubungan dengan keluarga, sahabat, dan masyarakat, serta memupuk perpaduan tanpa mengira perbezaan.
Tradisi bermaafan di Aidilfitri mengajar kita untuk membuang ego, memaafkan kesalahan orang lain dan memulakan lembaran baru dengan hati yang bersih.
Syawal turut mengingatkan kita untuk meraikan kemenangan dengan sederhana, tanpa pembaziran atau sikap berlebihan dalam perbelanjaan.
Kita turut diajar untuk terus istiqamah dalam ibadah seperti solat, puasa sunat dan bersedekah. Ringkasnya, Syawal bukan sekadar perayaan, tetapi satu pengajaran tentang nilai hidup yang lebih baik, terutama dalam aspek kesyukuran, kebersamaan dan keikhlasan.
Oleh itu, tidak hairanlah berlakunya Ramadan dan Syawal bagi mereka yang mahu memikirkan hikmah sebenarnya untuk mengajak kita untuk terus merapatkan saf silaturahim dalam kalangan kita.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin.
Wallahu Alam Bissawab