LAWAS: Dunia pertanian hari ini berubah kepada penggunaan teknologi untuk menambah produktiviti dan hasil pendapatan golongan yang terlibat.
Justeru, golongan petani, nelayan dan penternak perlu mengadaptasi perubahan penggunaan teknologi moden dalam aktiviti mereka termasuk industri hiliran untuk menambah nilai hasil pertanian yang diusahakan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa warga tani, nelayan dan penternak di Bahagian Limbang untuk terlibat secara langsung melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian dan agensi bertanggungjawab lainnya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak mahu agar semua skim Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) yang mempunyai banyak infrastruktur untuk dilihat semula kerana ditumbuhi semak samun dan terbiar.
Melalui penggunaan teknologi moden dan kemudahan sedia ada, ia mampu digarap untuk meningkatkan hasil ekonomi.
Beliau juga memberi contoh yang mana banyak kawasan maju yang memiliki tanah terhad dan ada yang menyewa tanah untuk pertanian mampu mengeluarkan hasil banyak kerana penggunaan teknologi moden ini.
Menyentuh mengenai Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPCC) Lawas, Anjung-anjung Usahawan dan kemudahan untuk memasarkan produk pertanian akan sia-sia jika para petani tidak menggunakan secara total kemudahan itu.
Justeru, komitmen tinggi yang konsisten daripada semua pihak penting dalam memastikan pembangunan ekonomi dalam sektor pertanian ini terus dapat dicapai dengan jayanya.
Tengah juga tidak mahu budaya menjual segala bentuk bantuan kerajaan untuk mendapat keuntungan segera yang sedikit diamalkan.
Ini kerana sektor makanan dan pertanian adalah industri yang akan diperlukan selagi manusia itu hidup.
Perubahan iklim juga mempengaruhi kesuburan tanah dan kekurangan tanah pada masa akan datang mampu diimbangi dengan penggunaan teknologi moden.
Kesedaran masyarakat tentang pemakanan sihat tanpa menggunakan banyak bahan kimia juga akan menjadikan bidang ini lebih mencabar kerana setiap produk perlu memenuhi standard tinggi keselamatan pemakanan.
Pada masa sama, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) turut memberikan sedikit peruntukan untuk memajukan sektor pertanian di Daerah Limbang dan Lawas dan Kerajaan Sarawak juga menyalurkan peruntukan besar untuk sektor pertanian ini yang berjumlah RM20 juta bagi seluruh Sarawak.
Tengah juga menggesa penglibatan lebih serius masyarakat Sarawak dalam sektor pertanian dan bersama merealisasikan Sarawak sebagai negeri pengeluar makanan utama negara dan rantau ini kerana keluasan tanahnya.
Seramai 120 peserta menerima bantuan pertanian daripada Jabatan Pertanian Bahagian Limbang yang disampaikan sendiri oleh Awang Tengah.
Selain itu, bantuan ini membabitkan peruntukan RM500,000 untuk 2,488 penerima bantuan Jabatan Pertanian Bahagian Limbang.
Sektor penternakan juga diberi perhatian serius dalam usaha menjadikan Bahagian Limbang sebagai pengeluar sumber daging kerbau utama Sarawak.
Oleh itu, sejumlah RM2 juta diperuntukkan untuk menaik taraf stesen ternakan kerbau Meragang Lawas dan tambahan RM7 juta juga untuk pusat ternakan kerbau Meragang dalam menambah jumlah kerbau dan operasi berkaitan.
Kerajaan Sarawak melalui NRDA telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi menaik taraf stesen perikanan darat di Punang Lawas.
Manakala, kawasan Ba’kelalan dan Long Semado di DUN Ba’kelalan juga diperuntukkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak RM4 juta untuk membangunkan lembah organiknya.
Turut hadir, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Haji Sebi Haji Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Daerah Limbang Awang Suffri Awang Said dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japaruddin Ali.
Oleh Adeng Edrus