
Foto Abang Sem Saribas
DEBAK: Tradisi yang terus diamalkan oleh masyarakat masa kini di kawasan Saribas ialah ‘Makan Ringgo Rayo’ yang masih lagi diamalkan sehingga kini walaupun telah bermula sejak zaman nenek moyang mereka.
Budaya yang dikaitkan dengan Makan Ringgo Rayo menurut kalangan penduduk di Saribas ini adalah pada sesebuah majlis seperti sambutan Aidilfitri yang merupakan tradisi kunjung-mengunjungi oleh rakan taulan, dan masyarakat setempat bertujuan memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan mereka.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata Makan Ringgo Rayo menjadi keistimewaan masyarakat Saribas kerana secara tidak langsung memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk.

Foto Abang Sem Saribas
“Kita di Saribas bertuah kerana mempunyai budaya Makan Ringgo Rayo yang sudah menjadi tradisi yang diamalkan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi.
“Di Daerah Debak khususnya, budaya Makan Ringgo Rayo semasa sambutan Aidilfitri dapat kita saksikan dimana penduduk akan dijemput datang ke rumah-rumah mengikut kampung masing-masing.
“Ini merupakan budaya yang tidak pernah dilihat di kawasan-kawasan kampung lain dan secara tidak langsung dapat memeriahkan suasana perayaan di Saribas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Bungey Debak, semalam.
Majlis yang bermula seawal 9.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan komuniti di DUN Saribas seramai kira-kira 3,000 orang.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berharap budaya ini dapat diteruskan sampai bila-bila dan budaya ini tidak lupus ditelan oleh arus kemodenan zaman.
Tambahnya, konsep kunjung-mengunjungi semasa sambutan sesuatu perayaan di sini juga perlu diteruskan demi memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaum terutama Melayu, Cina dan Iban.
Jelasnya, perpaduan bukan sahaja dijalin antara sesama umat Islam malah lebih istimewa apabila turut disambut oleh bangsa lain apabila mereka berkunjung ke rumah masyarakat Islam.
“Dengan itu, ikatan silaturahim antara warga yang berlatar belakang agama, kaum dan budaya yang pelbagai di negara ini dapat dieratkan.
“Justeru, saya berharap penduduk berbilang kaum di negeri ini terutama di kawasan Saribas bersikap terbuka dalam menjayakan pelaksanaan amalan Makan Ringgo Rayo seperti ini,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman