Jika ada yang masih memandang ringan tentang wabak Covid-19, mungkin kisah keluarga ini yang kehilangan lima ahli keluarga serta pengalaman tragik mereka mendepani ujian ini akan mengubah persepsi semua terhadap pandemik ini.
“Ibarat mati hidup semula,” itu luahan Wan Abdul Rahman Wan Zen, 62, berkongsi kisah keluarga mereka berjuang memerangi wabak maut ini.
“Saya ‘ditidurkan’ selama 52 hari oleh doktor demi meredakan serangan ganas virus Covid-19 yang memamah organ-organ dalaman saya,” luah Mohamad Ghazali Abdul Rahman, 53, pula.
Bukan sekadar berjuang melawan Covid-19, ahli keluarga ini juga berdepan dengan stigma masyarakat yang melabelkan sebagai ‘pembawa wabak’ sehingga mereka dilayan seperti penjenayah.
Tiada siapa yang mahukan laluan sukar dalam hidup namun apabila takdir mengkehendaki sedemikian, semuanya harus dijalani satu persatu, dengan tabah dan tawakal. Keluarga ini telah melalui pengalaman ini dan masih lagi melaluinya.
Pada hari pertama kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini pada 18 Mac 2020, keluarga ini kehilangan Rokayah Drahman, ibu kepada Mohamad Ghazali. Tiada yang pelik tentang pemergian arwah kerana dianggap sakit biasa dan sakit tua.
Namun dua hari selepas arwah dikebumikan, pada 20 Mac 2020 mereka menerima berita menggemparkan apabila keputusan ujian menunjukkan arwah sebenarnya meninggal akibat Covid-19.
Persoalan demi persoalan timbul di minda mereka. Dari mana, bila dan melalui saluran apa wabak ini menjangkiti keluarga mereka. Persoalan ini hanya terjawab lama selepas itu. Bahawa salah seorang ahli keluarga dijangkiti oleh rakan sekerja yang baharu pulang dari Itali. Maka keluarga ini mendapat gelaran khas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) – Kluster Itali.
Rutin keluarga ini berubah serta-merta. Jiwa yang tenang mula terusik, hati yang reda mula cuak. Lebih mendebarkan kerana ketika itu dua orang lagi ahli keluarga iaitu anak arwah Rokayah, , Norafizah dan Norismadi Abdul Rahman menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.
Kedua-duanya dimasukkan ke hospital pada hari arwah Rokayah meninggal dunia dan kedua-duanya disahkan positif Covid-19 pada 20 Mac, hari yang sama keputusan Covid-19 arwah ibu mereka, Rokayah, dikeluarkan.
Berikutan itu, seluruh ahli keluarga diminta membuat saringan kesihatan dan dikuarantin di rumah mereka mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Pada 21 Mac, keluarga ini menerima berita duka Norafizah meninggal dunia akibat Covid-19. Pada hari yang sama juga dua ahli keluarga ini iaitu Mohamad Ghazali dan isteri, Habibah Mokhtar dimasukkan ke hospital selepas proses saringan mendapati mereka positif Covid-19.
Dua hari kemudian, satu lagi khabar duka tiba ke pendengaran mereka apabila Norismadi pula pergi meninggalkan keluarga ini pada 23 Mac 2020.
Pemergian Norafizah dan Norismadi hanya mereka iringi dengan doa dari jauh kerana prosedur kematian akibat wabak cukup ketat. Tiada ahli keluarga dibenarkan datang memberi penghormatan terakhir dan jenazah hanya diuruskan oleh pegawai-pegawai KKM.
Ahli keluarga terdekat hanya dapat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dan melihat dari jauh jenazah dikebumikan.
Bagi ahli keluarga yang ditinggalkan, hanya tawakal yang menjadi penenang jiwa yang gundah. Tiada apa yang mampu dilakukan lagi melainkan berserah kepada Yang Kuasa.
Di hospital pula, keadaan Mohamad Ghazali semakin tenat sehingga doktor mengambil keputusan memasukkan beliau ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada malam 24 Mac 2020.
“Ketika itu saya sesak nafas, kadar oksigen dalam paru-paru amat rendah, jantung berdetak laju, badan etih lesu tidak bermaya,” kata Mohamad Ghazali.
Menurut isterinya Habibah, pemergian ibu dan dua adiknya memberi tamparan hebat kepada Mohamad Ghazali sehingga seperti hilang semangat untuk hidup lagi. Mungkin disebabkan itulah keadaan kesihatan beliau merosot teruk.
Di antara semua ahli keluarga ini, pengalaman Mohamad Ghazali menewaskan Covid-19 mungkin yang paling hebat dan paling lama.
Dimasukkan ke hospital pada 21 Mac 2020, beliau hanya keluar hospital pada 23 Jun 2020. Ketika dimasukkan ke hospital, berat badan beliau 90 kilogram tetapi ketika keluar hospital selepas 92 hari bertarung nyawa, berat badan beliau menyusut sebanyak 30 kilogram.
Malah ketika umat Islam menjalani ibadah puasa yang bermula 24 April 2020, Mohamad Ghazali sedang bertarung hebat dengan virus yang sedang rakus memamah hati, buah pinggang dan paru-paru beliau.
Pada hari ke-32, doktor terpaksa membuat Trakeostomi atau tebukan pada leher bagi memasukkan tiub untuk memudahkan proses pernafasan beliau.
“Selama 52 hari saya ‘dikomakan’. Bila disedarkan pada awal Mei, saya dapati saya kena jaundis (sakit kuning), mata seperti terjojol keluar, hilang suara, meracau dan terpinga-pinga dengan keadaan,” kata Mohamad Ghazali.
Mengimbau keadaan beliau ketika mula-mula sedar selepas tidur yang panjang itu, Mohamad Ghazali berkata beliau mencari isterinya. Ini mungkin kerana beliau teringat dikuarantin di wad yang sama dengan isteri pada awalnya sebelum diusung ke ICU.
“Ketika itu saya hanya dapat memberi respons kepada doktor dengan isyarat mata sahaja. Suara tidak keluar, badan sakit sesakitnya,” luah beliau.
Ternyata para doktor yang merawat beliau amat prihatin dan sedaya upaya ingin menjadikan Mohamad Ghazali selesa dan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan.
“Doktor buat panggilan kepada isteri saya dan dekatkan telefon ke telinga saya. Berjujuran air mata saya ketika mendengar suara isteri dan ahli keluarga yang lain,” kata Mohamad Ghazali.
Sekarang ini beliau masih berjuang untuk pulih sepenuhnya. Beliau masih makan melalui tiub, bergantung kepada susu sebagai sumber makanan harian dan masih bergantung kepada orang lain untuk pergerakan fizikal.
‘Jangan sisihkan, kami manusia, bukan virus’
Bagi Wan Abdul Rahman pula, apa yang ditakuti selama ini akhirnya menjadi kenyataan apabila mendapat panggilan daripada KKM pada 27 Mac yang memaklumkan beliau dan isteri, Hamdiah Zen, 60, juga positif Covid-19. Mereka dijemput dengan ambulans di rumah dan ditempatkan di wad berasingan di hospital.
Menceritakan apa yang berlaku semasa dikuarantin di hospital, Wan Abdul Rahman berkata mereka ditempatkan di dalam bilik yang dikunci dari luar, makan minum dan rawatan diuruskan oleh jururawat yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE).
Memandangkan penawar Covid-19 belum ditemui, jadi pesakit Covid-19 dirawat dengan Hydroxychloroquine, ubat yang biasanya digunakan untuk merawat pesakit Malaria.
“Ubat dimakan dua biji, dua kali sehari. Mungkin kesan ubat, saya mengalami cirit-birit yang teruk, tiada selera makan, jadi badan pun lemah. Tidak pernah saya rasa seteruk itu sebelum ini,” kata Wan Abdul Rahman.
Pada 4 April 2020, beliau pula yang dimasukkan ke ICU selepas keadaan kesihatan semakin merosot dan keluar dari ICU pada 9 April 2020. Ketika beliau dimasukkan ke ICU, isteri beliau pula dikeluarkan dari hospital untuk menjalani kuarantin di Kompleks Belia dan Sukan.
“Runtuh rasa hati ketika itu. Dalam fikiran berkata, kalau ada apa-apa berlaku, memang tak akan jumpa terus. Tawakal sahajalah yang menjadi pegangan ketika itu,” kata Hamdiah.
Selain Wan Abdul Rahman dan Mohamad Ghazali bersama isteri masing-masing, turut menjalani kuarantin di hospital adalah 56 orang lagi ahli keluarga dekat dan jauh. Dapat dibayangkan apa yang dilalui oleh keluarga ini ketika itu kerana ketika orang lain diarahkan duduk diam di rumah, mereka pula berjuang dalam ketakutan untuk bebas dari Covid-19.
Ketika dalam keadaan teruk inilah, dua lagi berita menyedihkan tiba. Kali ini mereka kehilangan dua lagi ahli keluarga, Ismail Sadom yang meninggal pada 3 April 2020 dan disusuli oleh Mohamad Ali Seman pada 4 April 2020.
“Semasa di ICU, saya sempat melihat dari cermin pintu wad, satu jenazah diusung keluar. Bila saya tanya jenazah siapa dan diberitahu oleh jururawat bahawa itu adalah Mohamad Ali Seman.
“Hancur luluh hati saya kerana itu adalah ayah saudara saya. Saya hanya mampu melihat pemergian beliau tanpa mampu berbuat apa-apa” ujar Wan Abdul Rahman sebak.
Beliau hanya dikeluarkan dari hospital pada 25 April 2020.
“Syukur yang tidak terkira bila beri saya dan Mohamad Ghazali peluang untuk pulih. Ini keajaiban dari Allah untuk kami. Ada hikmah di sebalik semua ini,” tambah beliau sambil berterima kasih kepada semua orang yang telah mendoakan mereka selama ini.
Menurut beliau, ada pihak dari Indonesia, Semenanjung Malaysia dan Sarawak yang melaksanakan solat hajat khusus untuk mendoakan kesembuhan mereka.
“Kami terharu dengan sokongan ini. Walaupun tak pernah berjumpa, tetapi doa mereka mengiringi perjuangan kami menentang Covid-19,” tambah beliau.
Wan Abdul Rahman dan Mohamad Ghazali juga berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, terutama doktor yang telah merawat mereka dan semua ahli keluarga, sama ada di hospital ataupun di pusat-pusat kuarantin.
Keluar dari hospital dan disahkan bebas dari Covid-19 bukan bererti berakhirnya kesengsaraan keluarga ini. Di luar hospital, mereka berhadapan pula dengan stigma masyarakat yang menyisihkan mereka kerana dianggap ‘pembawa wabak’.
“Kami disisihkan. Kalau nak berpapasan di jalan, orang cepat-cepat menyimpang. Telinga pula memang sudah biasa mendengar kata-kata tohmahan. Sedih jika diperlakukan sedemikian,” luah Wan Abdul Rahman.
Justeru beliau berharap masyarakat akan mengikis mentaliti ini dan sama menerima hakikat bahawa penyakit ini datang daripada Allah dan mereka sembuh juga kerana Allah.
“Oleh itu jangan sisihkan kami, kami ini manusia bukan virus,” luah beliau mengakhiri perbualan.
Oleh Haini Darani