
KUCHING: Pemilik haiwan peliharaan digalakkan untuk terus memantau haiwan mereka bagi mengenal pasti tanda-tanda rabies susulan statistik menunjukkan 11 kes positif rabies dalam haiwan telah dikesan oleh Makmal Diagnostik Veterinar Sarawak (SVDL), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) bagi Mac 2025.
Menurut kenyataan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, pemilik haiwan yang berada dalam radius 1 km dari kawasan yang terjejas diwajibkan untuk memberi vaksin kepada haiwan peliharaan mereka.
“Pengisytiharan ini perlu bagi memastikan lebih banyak usaha diambil oleh pihak daerah dan bahagian yang terlibat.
“DVSS bersama pihak berkuasa tempatan dan Pasukan Penguatkuasaan Kawasan Imun (IBET) dari UKPS akan melaksanakan program vaksinasi rabies dan pelesenan di seluruh Sarawak melalui kempen vaksinasi besar-besaran yang akan diumumkan dari semasa ke semasa di laman Facebook rasmi DVS Sarawak,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Orang ramai boleh mendapatkan vaksin anti-rabies anjing secara percuma di mana-mana Pejabat Veterinar Kerajaan serta memohon lesen di majlis daerah masing-masing pada waktu pejabat.
Klinik Veterinar Swasta juga menyediakan vaksin rabies dengan kos yang minimum.
Dr Stephen turut memaklumkan bahawa beliau telah menandatangani perintah vaksinasi anti-rabies di bawah Seksyen 40(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 (VPHO 1999), yang mewajibkan semua anjing di negeri ini menerima suntikan vaksin anti-rabies serta dos penggalak tahunan.
Beliau menegaskan bahawa pemilik anjing bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka divaksinasi.
“Kegagalan mematuhi arahan ini adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,500,” tambahnya.
Memandangkan rabies masih menular, semua pemilik haiwan digesa untuk menyertai program yang akan datang di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan serta di Balai Raya Desa Wira, Padawan pada 12 April 2025 (Sabtu) dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, jumlah kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia kekal 83 dengan 76 kematian sejak Julai 2017.
Orang ramai diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan perubatan di klinik berdekatan sekiranya digigit oleh haiwan.