BETONG: Para penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) di negeri ini diingatkan supaya membuka akaun dan mengemaskini maklumat akaun di dalam permohonan pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata ia dapat mengurangkan bilangan penerima secara pembayaran tunai dan penerima terpaksa hadir dan bersesak bagi mendapatkan bayaran.
“Saya menyeru para penerima bantuan BSH khasnya, diingatkan agar segera bertindak untuk membuka akaun serta mengemaskini maklumat akaun untuk tujuan memudahkan lagi bayaran oleh agensi pembayar.
“Bukan bantuan BSH sahaja, banyak lagi bantuan lain seperti contoh Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan juga Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) yang memerlukan maklumat akaun terkini untuk tujuan pembayaran terus, sekaligus membantu mengurangkan bilangan penerima secara pembayaran tunai,” katanya semasa meninjau proses pembayaran bantuan BSH di Dewan Panglima Rentap di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu dan ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam.
Mohd Shahar berkata masalah utama yang berlaku di negeri ini terutamanya, apabila tiba musim pembayaran apa-apa jenis bantuan sering menyaksikan penerima bantuan yang menggunakan baucer akan bersesak untuk mendapatkan pembayaran tunai.
“Masalah ini terjadi disebabkan para penerima bantuan itu tidak mempunyai akaun bank. Mereka akan diberi baucer dan perlu ditunai di bank seperti Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Justerus saya sekali lagi mengingatkan kepada penerima bantuan di negeri ini agar membuka akaun dan mengemaskini maklumat akaun di dalam permohonan bantuan pada masa akan datang,” ujar beliau. Program yang dijalankan selama dua hari itu melibatkan seramai 1,697 penerima bantuan dari KerajaanPerikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Betong.
Oleh Adi Safarman